Anggota pasukan keselamatan memulakan operasi mencari barangan milik mangsa di sekitar kawasan kejadian nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Orang ramai dinasihatkan agar berhenti menyebarkan video nahas pesawat ringan di Shah Alam yang mengorbankan 10 individu, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, orang ramai perlu bertimbang rasa dan rasional dan bagi yang mempunyai maklumat mereka diminta membantu siasatan.

“Kita kena jaga sensitiviti semua pihak kerana ini adalah tragis yang penuh berduka cita menyebabkan mangsa terkorban dan ahli keluarga masih trauma dan sedih terhadap pemergian insan tersayang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Semalam sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16, di sini.

Dalam kejadian jam 2.48 petang itu semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakala dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim  memberitahu, orang awam dan penduduk Perumahan Elmina 8 Central Park merupakan antara yang terlibat dalam siasatan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast