KLANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun menaiki pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam atas urusan rasmi kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang sebelum itu telah mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Langkawi.
Perkara itu disahkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
“Kita memang terkejut bila dengar tentang nahas ini. Pada mulanya kita fikir orang lain. Kita ada Johari Harun, Johari Hussien (ADUN Tioman). Tidak tahu mana satu. Apabila semak nombor kad pengenalan, kita tahulah kerana umurnya sekitar 53 tahun.
“Dia sebagai seorang rakan kerja dan kawan baik, berita ini amat mengejutkan dan menghibakan diri saya secara peribadi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini malam tadi.
Mohd Sharkar berkata, arwah seorang yang rajin dan sangat mudah didekati bukan sahaja barisan Exco sebaliknya juga penduduk setempat di DUN Pelangai sendiri walaupun baru sepnggal menjadi wakil rakyat.
“Arwah sepatutnya mengadakan pertemuan rutin bersama barisan Exco kerajaan negeri pada Rabu namun tidak bertemunya, minggu lalu kami bertemu dalam satu program. Dia selalu bertanya pandangan dan nasihat mengenai politik,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Mohd Sharkar, segala urusan berkaitan Allahyarham Johari termasuk penghantaran dan pengebumian akan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.
Ditanya mengenai kekosongan kerusi DUN Pelangai, beliau berkata, pihaknya kena tunggu surat rasmi mengenainya sebelum dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. – MalaysiaGazette