Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertemu dengan pemimpin- pemimpin dari Pahang serta Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman di jabatan forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 OGOS 2023.

KLANG – Kerajaan Pahang akan membiayai segala kos berkaitan urusan pengebumian kepada keluarga mangsa nahas pesawat di Lebuh Raya Guthrie dekat Bandar Elmina, Shah Alam.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ia termasuk kos untuk pengurusan mayat dan pengebumian jenazah.

“Semua mangsa nahas penumpang pesawat serta dua orang awam yang meninggal dunia pun kita boleh tanggung,” katanya kepada media di luar perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah malam tadi.

Kata Wan Rosdy, tragedi itu sesuatu yang sungguh mengejutkan dan sangat menyedihkan lagi-lagi salah seorang mangsa adalah Exco Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun. 

“Pemergian ini sungguh mengejutkan, hiba hati saya. Memang tidak sangka. Kali terakhir saya bertemu dengannya pagi tadi dalam mesyuarat di Langkawi. Selepas sahaja tamat mesyuarat, dia telah bergegas pulang untuk urusan.

“Sememangnya beliau seorang yang amat komited, selalu melontarkan pelbagai idea dan cadangan dalam memastikan setiap kebajikan rakyat Pahang itu terjaga. Memang ini satu kehilangan yang sukar di cari ganti,” ujarnya.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri turut hadir ke perkarangan unit forensik HTAR bagi melahirkan simpati dengan waris mangsa. -MalaysiaGazette