beras SST nikotin rumah terbuka madani LGBTQ nik elin zurina
Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Pendengaran kes yang difailkan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan negeri Kelantan membangkitkan kebimbangan umat Islam mengenai masa depan perundangan jenayah syariah di negeri-negeri.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, mereka telah mencabar sebahagian besar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019, mengambil ikutan keputusan kes Iki Putra Mubarak beberapa tahun lalu.

Sehubungan itu, menurut beliau, Dewan Ulama Pas menggesa semua pihak bertanggungjawab mempertahankan perundangan syariah negeri daripada sebarang bentuk usaha untuk menghapuskannya dan meletakkannya sebagai undang-undang kelas kedua.

“Implikasi pembatalan kesalahan jenayah syariah ini begitu besar dan dahsyat sehingga boleh meruntuhkan keseluruhan undang-undang jenayah syariah negeri-negeri.

“Bahkan, ia boleh menyebabkan enakmen kesalahan jenayah syariah negeri kehilangan taringnya dalam menjaga dan melindungi umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad menambah, Dewan Ulama Pas turut menggesa seluruh umat Islam supaya bersatu mempertahankan kedaulatan undang-undang syariah negeri sebagaimana yang terkandung dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendengar petisyen Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin Nastasha yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen berhujah, 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Hujah beliau, peruntukan tersebut tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut dan 20 peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.

Antaranya Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat), Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast