Ab Rauf (tengah) meninjau keadaan surau lelaki di Surau Warisan, Banda Hilir yang sedang dibaiki.

MELAKA – Pengunjung di negeri ini dinasihatkan supaya tidak memperbesarkan isu remeh kerosakan kemudahan awam yang sudah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa memperbaikinya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, isu bumbung Surau Warisan di Banda Hilir berhampiran Bangunan Stadthuys yang bocor dan tular beberapa hari lalu dalam proses pembaikan.

Malah menurutnya, kerosakan itu berlaku di ruang surau lelaki yang sudah ditutup dan mereka boleh menggunakan ruang lain untuk menunaikan solat, namun tidak dapat menghalang sekiranya jemaah mahu menggunakan ruang solat yang bocor itu.

“Tidak ada apa pun yang perlu diperbesarkan kerana proses pembaikan sedang berjalan jadi saya harap mereka yang berkunjung ke Melaka ini tak payahlah nak viralkan perkara-perkara kecil begini.

“Kerosakan yang berlaku pun disebabkan ada pokok tumbang dan untuk sementara boleh gunakan surau wanita atau ruang lain yang selesa sebagai sebagai surau lelaki,” katanya selepas melawat Surau Warisan di sini.

Ab Rauf berkata demikian mengenai penularan klip video di aplikasi TikTok sejak kelmarin yang seorang individu lelaki menceritakan keadaan bumbung surau berkenaan yang bocor selain permaidani berbau busuk akibat dibasahi air.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa memastikan semua kemudahan disediakan di negeri ini dalam keadaan baik menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). – MalaysiaGazette