Khairul Anuar Muhamad Noh

Mempromosikan penyelidikan akademia universiti ke dalam media bukan sesuatu yang mudah kerana peluang siaran bergantung kepada seleksi media, ‘keistimewaan’ penyelidikan dan kek persaingan ruang media yang semakin mengecil.

Tugas utama seseorang akademia di universiti ialah pengajaran tetapi mereka juga menjalankan kerja pentadbiran, penyeliaan, penyelidikan, perundingan, penulisan, penerbitan dan penyertaan seminar.

Hambatan kesibukan akademia di menara gading menyebabkan visibiliti media mereka agak kurang dari segi sidang media penyelidikan, liputan penyelidikan atau perkongsian kepakaran sedangkan terdapat lebih 30,000 pensyarah di universiti awam.

Pengalaman penulis sebagai pentadbir universiti contohnya ketika mempromosikan penyelidikan pensyarah dengan media massa selama 15 tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan tugas yang mudah.

Beberapa pakar akademia UPM yang penulis promosikan dalam media telah dihubungi pihak-pihak berkepentingan yang berminat menjalankan perundingan dan pengkomersilan selain pihak media menjadikan mereka sebagai pakar rujuk dalam isu semasa negara.

Dengan menyebarluaskan kepakaran universiti kepada masyarakat dan kerajaan melalui media massa, universiti lebih mudah mendapatkan dana bagi sesuatu projek apabila terdapat pihak yang berminat untuk mengkomersilkan inovasi tersebut.

Selain tugas utama dalam tadbir urus universiti, kepentingan pentadbir membantu visibiliti media akademia ialah dengan memanfaatkan kepelbagaian kepakaran dan kemahiran akademia yang banyak menumpukan masa di kelas, makmal, penyelidikan, lapangan dan seminar.

Pentadbir boleh meringkaskan hasil penyelidikan akademia menggunakan penyampaian yang lebih mudah difahami pembaca dan penonton media serta tidak bersifat terlalu ilmiah atau teknikal.

Tugas pentadbir ialah mengenalpasti produk yang sesuai dan bernilai berita, kemudiannya meringkaskan penulisan inovasi tersebut dalam bentuk berita, rencana atau soalan dan jawapan.

Proses seterusnya ialah pentadbir memberi semua bahan tersebut kepada Pejabat Komunikasi Korporat di universiti masing-masing sebagai penghubung akademia dengan media dalam mempromosikan penyelidikan dan inovasi.

Pentadbir universiti juga harus bijak menyelia bakat kepakaran pensyarah di fakulti masing-masing dalam menjawab sebarang isu-isu semasa negara dengan pantas.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memperkenalkan strategi 4P iaitu Penyediaan Bakat, Penyelidikan & Inovasi, Pemindahan Ilmu dan Pengantarabangsaan, dalam memastikan Kementerian Pendididkan Tinggi (KPT) menyumbang ke arah kerangka Ekonomi MADANI.

Dengan menyokong promosi penyelidikan dan inovasi universiti, pentadbir mampu membantu universiti menarik lebih banyak pemain industri utama untuk mengkomersilkan produk universiti sekaligus menjana ekonomi universiti dan negara.

UPM contohnya telah merangka Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang bertujuan untuk mewujudkan hab penyelidikan dan inovasi yang menjana nilai berteraskan ekosistem lestari.

Kumpulan sasaran khalayak media universiti ialah pemegang taruh, pihak kerajaan, industri atau pihak yang berminat untuk mengkomersilkan produk universiti bagi menjana pendapatan universiti, meningkatkan indeks penyelidikan di persada antarabangsa dan memberi produk alternatif kepada pengguna.

Sempena sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam pada 20 Ogos 2023 yang mengiktiraf peranan Pentadbir Universiti Awam di Malaysia, pentadbir universiti awam dilihat mampu memberi perkhidmatan kelas pertama untuk membantu akademia dan universiti secara kompeten.

Menurut Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab, kompetensi pentadbir universiti merangkumi kecekapan, peningkatan keilmuan, penciptaan inovasi, pembangunan diri, kepimpinan serta sumbangan kepada organisasi dan masyarakat luar.

Nilai tambah kompetensi kemahiran penulisan dan perhubungan media oleh pentadbir universiti awam seiring dengan keperluan kompetensi semasa yang mampu meningkatkan kemahiran tadbir urus pentadbir secara holistik pada era yang amat mencabar dengan ledakan maklumat.

Tidak keterlaluan menyatakan kompetensi dan tanggungjawab pentadbir universiti awam lebih mencabar berbanding pentadbir di agensi kerajaan lain kerana pentadbir universiti cuba berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan akademia untuk melengkapi keperluan akademia yang berimpak tinggi serta memenuhi ekpektasi pelanggan yang lebih rumit.

Kemahiran penulisan dan perhubungan media seseorang pentadbir amat penting untuk menyempurnakan fungsi-fungsi pengurusan dan pentadbiran melalui keupayaan komunikasi yang berkesan kerana tanpa peranan mereka, visibiliti akademia universiti boleh terjejas.

Jabatan sumber manusia universiti awam boleh mempertimbangkan syarat kemahiran penulisan dan perhubungan media sebagai salah satu kompetensi nilai tambah dalam proses temuduga atau kenaikan pangkat.

Nilai tambah bakat penulisan dan perhubungan media oleh pentadbir universiti terhadap akademia memainkan peranan penting dalam sumbangan akademia terhadap teknologi buat rakyat dan negara.

Kecemerlangan dan kemahiran pentadbir melonjakkan visibiliti penyelidikan dan inovasi universiti awam mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan mengukuhkan penjenamaan universiti awam Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Penulis adalah Ketua Pegawai Media Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI)