UMNO Akmal
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menjelaskan, gambarnya bersama bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tular ketika ini dirakam hampir tiga tahun lalu.

Menurut beliau, pertemuan itu berlaku pada 25 September 2019 ketika UMNO masih lagi pembangkang semasa negara diperintah oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, Dr Akmal menyifatkan tuduhan pihak tertentu bahawa beliau berkomplot dengan Hishammuddin sebagai tidak berasas.

“UMNO ini perlu dipulihkan, bukan terus dengan tuduh menuduh tanpa asas.

“Tugas kita untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO, bukan menjauhkan rakyat dari UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Akmal UMNO
Gambar lama yang ditularkan pihak tertentu bagi menuduh kononnya Dr Akmal Saleh berkomplot dengan Hishammuddin Hussein. -Gambar: Facebook

Gambar tersebut tular sejak semalam dan beberapa penyokong UMNO membuat tuduhan melulu mengaitkan Dr Akmal dan Hishammuddin dengan gerakan menjatuhkan kepimpinan UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tuduhan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan gesaan Dr Akmal sebelum ini agar UMNO melakukan perubahan bagi menarik semula sokongan rakyat khususnya orang Melayu.

Ketika gambar tersebut dirakamkan, Dr Akmal merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan beliau hanya menyandang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO selepas pemilihan parti tahun ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.