Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas melawat waris mangsa nahas pesawat terhempas di Perumahan Elmina 8 semasa menunggu proses bedah siasat dan pengecaman selesai ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2023.

KLANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kerajaan Selangor menyediakan kemudahan yang terbaik kepada ahli keluarga mangsa pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor.

Beliau yang tiba di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada jam 1 tengah hari berkata, kerajaan pusat juga turut menyediakan bantuan bagi meringankan beban ahli keluarga.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa supaya bersabar kerana tiada siapa jangka tragedi seumpama itu berlaku.

“Cuma yang dilakukan sekarang ialah mempercepatkan proses forensik (bedah siasat) dan DNA.

“Sebaik selesai, ia akan diuruskan oleh jabatan agama dan kerajaan Selangor,” katanya kepada media selepas bersama kira-kira 15 minit dengan keluarga mangsa.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kesihatan, Zaliha Mustapa; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Datuk Seri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Anwar, antara bantuan yang disediakan kerajaan kepada waris mangsa ialah pengurusan jenazah, kelengkapan dan penginapan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memberi bantuan terutama kepada ahli keluarga yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya ikuti perkembangan ini dari semalam dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan, pihak berkuasa agama, forensik, hospital da beberapa badan kebajikan negeri.

“Mereka mengurus dengan cekap. Saya bangga dan terima kasih,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast