KUALA LUMPUR – Selebriti popular Black Hanifah dan kumpulan SYJ serta penceramah motivasi terkenal, Datuk Dr. Fadhilah Kamsah bakal menyerikan Program Pesta Pantai Bagan Lalang@Sepang yang diadakan bermula esok selama dua hari.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd Hamid Hussain, persembahan mereka itu antara pelbagai acara menarik bakal menanti pengunjung sempena acara tahunan itu yang telah diadakan sejak 2016.
“Antara aktiviti menarik yang dianjurkan sepanjang Pesta Pantai Bagan Lalang @ Sepang 2023 adalah acara bola tampar pantai, pertandingan wau kapal, pertandingan silat antarabangsa, pameran dan jualan produk campervan, pertandingan tarik tali pantai dan pertandingan istana pasir.
“Selain itu turut diadakan pertandingan memasak kuih bangkit buah naga dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya Sungan Pelek yang mana ini merupakan ciptaan dan resepi serta inovasi pertama di Selangor dan akan menjadi trademark kepada daerah Sepang yang kaya dengan hasil buah naga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Abd Hamid menambah, turut dianjurkan ialah pertandingan push bike dan Battle of The band, karnival keusahawanan, sukan rakyat dan permainan tradisional, mencari harta karun, bola sepak pantai serta Merdeka Fun Ride dan Fun Run.
Beliau berkata, tidak ketinggalan ialah aktiviti untuk kanak-kanak iaitu pertandingan fesyen Kanak-kanak yang bertemakan kemerdekaan dan pertandingan mewarna. – MalaysiaGazette