KLANG – Polis menjangkakan proses bedah siasat dan DNA ke atas semua jenazah mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Shah Alam, dekat sini, siap pada Isnin ini.
Pihak forensik terpaksa mengambil masa untuk mengenal pasti semua mangsa kerana sembilan daripada 10 mayat dijumpai dalam keadaan tidak sempurna.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pasukan keselamatan mengumpul kira-kira 200 cebisan kecil daging di tempat kejadian untuk diproses pemadanan dengan DNA 22 ahli keluarga.
Katanya, setakat ini satu mayat iaitu penunggang motosikal yang lengkap, manakala sembilan lagi iaitu dua juruterbang, enam penumpang pesawat dan seorang pemandu e-hailing dalam keadaan tidak lengkap.
“Perkara ini nampak mudah, tetapi sebenarnya ia terlalu sukar untuk pasukan forensik membuat padanan kerana ia memerlukan masa.
“Oleh itu, saya nasihatkan kepada waris dan ahli keluarga, jika ada penginapan berdekatan dengan hospital ini, pulanglah berehat di hotel masing-masing dulu.
“Menunggu di sini pun tidak dapat menerima jenazah juga kerana akan dibawa keluar dari Jabatan Forensik HTAR sekurang-kurangnya Isnin ini,” katanya kepada ahli keluarga di sini, hari ini.
Semalam sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park.
Dalam kejadian jam 2.48 petang itu semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakala dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia. – MalaysiaGazette
Menurut Razarudin, pihaknya akan menghubungi semua 22 waris mangsa dari semasa ke semasa untuk memaklumkan perkembangan mengenai proses bedah siasat.
Mengenai mayat penunggang motosikal, beliau berkata, walaupun keadaannya sempurna, tetapi pihaknya tidak dapat memberi jaminan proses bedah siasat selesai hari ini. – MalaysiaGazette