Keadaan tempat menunggu untuk waris mangsa nahas pesawat terhempas di Perumahan Elmina 8 yang telah kosong ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2023.

KLANG – Lebih 50 waris keluarga mangsa nahas pesawat terhempas mula meninggalkan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bermula kira-kira pukul 3.00 petang tadi.

Masing-masing meninggalkan hospital itu selepas dinasihatkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk berbuat demikian kerana hasil DNA hanya diketahui pada Isnin ini.

Waris daripada 10 keluarga berkenaan mula berkumpul di HTAR sejak pukul 8 pagi tadi bagi mengentahui hasil bedah siasat dan keputusan DNA.

Sebelum itu Razarudin menemui waris yang ditempatkan di bawah satu khemah di hadapan Jabatan Forensik HTAR kira-kira pukul 2.50 petang.

Menurutnya, proses ujian DNA terhadap lebih 200 cebisan kecil daging yang ditemukan di tempat kejadian sedang dalam proses pemadanan dengan DNA 22 ahli keluarga dan mengambil masa.

Suhaila Akasha, 46, balu kepada salah seorang penumpang, Allahyarham Shaharul Amir Omar berkata, beliau akan pulang ke rumahnya di Manjung, Perak untuk menunggu keputusan DNA.

Menurutnya, hati beliau telah terdetik kejadian malang menimpa suaminya selepas menonton visual tular di media sosial mengenai kejadian itu petang semalam.

Tambah beliau, Shaharul Amir ada menghubungi beliau pada malam sebelum kejadian untuk memberitahu waktu pesawat berlepas.

“Naluri kita sebagai seorang isteri sudah tahu walaupun tidak ada sesiapa yang memaklumkan lagi dia berada dalam pesawat itu.

“Tapi bila kita tengok jenis kapal terbang itu, dari mana dan pukul berapa dia berlepas memang sudah terdetik, kemudian baru ada orang beritahu dia berada di dalam itu.

“Saya tahu pukul berapa dia akan bergerak dari sana pukul berapa, dia akan sampai ke Subang pukul berapa. Bila tengok di media sosial saya boleh agak,” katanya sambil mengesatkan air mata.

Suhaila berkata, dia terima dan reda terhadap kejadian yang menimpa suaminya yang merupakan bekas tentera laut dan kejadian itu dimaklumkan oleh Panglima Tentera Laut kepada mangsa berada dalam pesawat.

Mangsa meninggalkan empat orang anak seorang lelaki dan tiga perempuan berusia antara 19 tahun dan 12 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast