KUALA LUMPUR – Pimpinan parti-parti politik disemua peringkat dalam Kerajaan Perpaduan diminta supaya sabar dan istiqamah dengan melakukan gerak kerja selepas berakhirnya proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini semua parti dalam proses melakukan bedah siasat dan segalanya diserah kepada kepimpinan parti untuk proses seterusnya.
Katanya, beliau pasti semua yang dilakukan mampu memberikan pengajaran serta membawa ke suatu arah yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya lihat sekarang ini semua parti dalam proses melakukan post-mortem untuk dapatkan data, untuk dapatkan maklumat, maklum balas sama ada di peringkat tertinggi sampai ke peringkat akar umbi.
“Sudah pasti semua parti akan melakukan muhasabah mengambil ibrah (pengajaran) dan juga merangka jalan ke depan.
“Jadi…Insya-Allah bila tiba masannya kita akan lakukan penambahbaikan seperti yang nanti kita akan kenalpasti melalui post mortem. Saya serah kepada pimpinan nanti untuk tentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program ‘Wangsa Maju Kita Punya’ di Tasik Danau Kota, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung isu-isu yang membabitkan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan terutama UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kini berhadapan kemelut dalaman susulan prestasi buruk yang dialami pada PRN yang lepas.
Beberapa pihak di dalam UMNO mendesak Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sama ada di dalam UMNO mahupun BN susulan kekalahan yang dialami itu.
Keadaan itu tidak menggambarkan keharmonian serta boleh menjejaskan imej lebih-lebih lagi UMNO merupakan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya di enam negeri baru-baru ini hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandinginya.
BN menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, satu di Kelantan serta gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada masih terdapat pihak yang cuba memainkan isu yang melibatkan sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum), Fahmi yang merupakan Menteri Komunikasi dan Digital berkata, ketika ini perkara itu tidak berlaku namun, terkait perihal lain iaitu fitnah.
“Ya…baru-baru ini selepas kita lihat tamatnya pilihan raya negeri ada beberapa isu yang timbul contohnya, dakwaan Ambalat telah diserahkan kepada Indonesia yang jelas tidak benar… dan juga kerajaan negeri Selangor berhasrat untuk tutup 200 sekolah agama, juga dijelas oleh Menteri Agama sebagai satu perkara yang fitnah.
“Tapi, itu bersifat fitnah bukan 3R. Namun, saya percaya pihak PDRM mungkin ada maklumat yang lebih tepat dan kita serah kepada PDRM untuk memberikan penjelasan,” ujarnya. – MalaysiaGazette