BENTONG – Banyak amalan baik telah dibuat oleh Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Idris Abdol Talib @Ramali atau dikenali Ustaz Idris yang terbabit dalam nahas pesawat pada Khamis lalu.
Amalan baik itu akan diteruskan oleh adiknya, Nurul Qomar, 38, yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik itu.
Beiau berjanji akan meneruskan legasi kebaikan yang dilakukan oleh arwah abangya itu.
Arwah abangnya itu aktif dalam pelbagai kerja kemasyarakatan dan kebajikan di daerah ini sepanjang hayat hidupnya semangnya prihatin dan disenangi ramai.
“Sebenarnya benda ini saya tak nak cerita, biar perkara itu rahsia dia dengan Allah. Antaranya abang ada membantu sebuah keluarga mualaf dipercayai dari Sarawak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
”Arwah hantar sejadah, al-Quran dan tak sangka bantuan bulanan turut diteruskan hingga sekarang selain bantu seorang bapa tunggal India tahun ini yang akhirnya telah memeluk agama Islam,” kata Nurul.
Ketua Armada Bersatu Pahang ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham Idris di Tanah Perkuburan Barak dekat Benus di sini hari ini.
Nurul ketika ditanya detik terakhir bersama arwah, beliau berkata, abangnya rancak dan banyak bergurau dalam kumpulan aplikasi WhatsApp berbanding sebelum ini.
“Dua hari sebelum kejadian, abang banyak mengusik rakan-rakan dan kali terakhir jumpa pada Selasa lalu. Kami sempat minum air termasuk pegawai-pegawai lain termasuk arwah Bon yang terkorban dalam nahas tersebut, sejujurnya abang tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya.
Allahyarham Idris antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Elmina Central Park, Seksyen U16, dalam insiden jam 2.40 petang pada Khamis lalu.
Arwah dilahirkan pada 29 November 1982 bertugas selaku Ketua Unit Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Raub bercuti setahun tanpa gaji dan bertugas sebagai pegawai khas Exco Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Allahyarham Idris meninggalkan seorang balu, Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, dan tiga orang anak masing-masing berusia 56 hari, 10, serta 14 tahun. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: