GOMBAK – Tiga individu telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk memberi keterangan berkaitan video tular pesawat terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina di Shah Alam, Selangor Khamis lalu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketiga-tiga mereka tampil secara sukarela.
Bagaimanapun beliau memberi amaran supaya tidak ada lagi mana-mana pihak menyebarkan video dan gambar berhubung kejadian yang menyebabkan 10 maut itu.
Katanya, tindakan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jangan menyebarkan video-video ini kalau ada salurkan kepada pihak polis. Ada macam-macam ceritalah, itu yang kita katakan jangan membuat spekulasi biar pihak berkaitan buat siasatan.
“Kita sudah panggil tiga orang yang terlibat dalam memviralkan video ini mungkin akan ada lagi. Mereka datang secara sukarela.
“Itu yang lepas, selepas ini kalau ada lagi kita akan mengambil tindakan bawah 233. Mereka telah diambil kenyataaan di IPD Shah Alam,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri majlis pengebumian Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang turut terkorban dalam nahas berkenaan di sini hari ini.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Batu Caves, Gombak.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihaknya tidak terlibat dalam siasatan terhadap nahas yang membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV.
“Itu kita serah kepada Biro Siasatan Kemalangan Udara. Kita tidak terlibat. Semua jenazah telah dituntut dan kita telah membuat padanan DNA. Part polis sudah habis.
“Part punca dan sebagainya kita serah kepada biro dan pada masa sama saya ingin menyeru kepada masyarakat jangan menularkan benda ini, hormati privasi keluarga mangsa terlibat,” tegasnya.
Dalam kejadian itu turut terkorban dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.
Lima penumpang lain adalah Adun Pelangai Datuk Seri Johari Harun; Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.
Sementara di darat, seorang pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari dan seorang penghantar makanan, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh turut maut.- MalaysiaGazette