Idris Abdol Talib @ Ramali

BENTONG – Jenazah salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, masih dapat dicam oleh ahli keluarganya semasa proses pengecaman mayat.

Pegawai Agama Islam Cameron Highlands, Mohd Khalil Mohd Zari berkata, keluarga mangsa bersyukur kerasa proses proses pengecaman ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berjalan lancar dan pengecaman dapat dilakukan.

Mohd Khalil yang merupakan abang ipar mangsa memberitahu, proses tersebut disahkan oleh isteri arwah dan ahli keluarga yang lain dan akan menguruskan pengebumian arwah di Bentong.

”Insya-Allah pihak keluarga akan menuntut jenazah pagi Ahad (hari ini) sekali dengan mangsa yang lain.

”Proses pengecaman selesai dilakukan oleh isterinya dan alhamdulillah, jenazah ditemukan sempurna dan baik, tidak hangus.

”Ramai orang telefon menceritakan kebaikan arwah, kami sebak namun itulah takdir yang kita redha dan terima,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Mohd Khalil, mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Barak Benus selepas selesai solat jenazah kali kedua di Masjid Ketari selepas waktu Zohor.

Arwah yang dikenali Ustaz Idrus merupakan hafiz Al-Quran dan berakhlak terpuji ketika hayatnya berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Idrus dilahirkan pada 24 November 1982 meninggalkan seorang balu, Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, dan tiga orang anak masing-masing berusia 14 tahun, 10 tahun dan 55 hari.

Idrus antara penumpang dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Elmina Central Park, Seksyen U16 yang terkorban ketika dalam perjalanan dari Langkawi atas urusan rasmi kerajaan negeri Pahang.

Insiden petang Khamis itu menyaksikan pesawat yang sepatutnya dijadualkan mendarat pukul 2.48 petang bagaimanapun dipercayai melencong sebelum hilang kawalan dan terhempas.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pukul 2.50 petang namun terhempas dua minit sebelum mendarat.

Antara yang terkorban Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, dua juruterbang iaitu Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta penumpang lain Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki, dua lagi orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Allahyarham merupakan  pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa namun Allahyarham bercuti tanpa gaji awal tahun ini. – MalaysiaGazette