KLANG – Lima jenazah telah selesai disolatkan di Masjid Jamek Al Rahimiah Klang di sini pukul 11.20 pagi ini.
Kelima-limanya jenazah Datuk Seri Johari Harun, Mohammad Taufiq Mohd Zaki, Khairil Azwan Jamaludin, Sharifuddin Shaari dan Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi.
Jenazah Allahyarham Johari bagaimanapun dibawa ke Masjid Raudhatul Sakinah, Klang Gates untuk disolatkan buat kali kedua dan urusan pengebumian oleh ahli keluarga.
Empat lagi jenazah iaitu Allahyarham Mohammad Taufik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana; Allahyarham Khairil Azwan di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1, Pahang.
Jenazah Allahyarham Sharipuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi dan Allahyarham Mohamad Naim Fawwaz di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.
Tinggal lagi empat jenazah mangsa nahas pesawat belum sampai di Masjid Jamek Al Rahimiah setakat ini.
Dalam kejadian pukul 2.40 petang Khamis, 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun terkorban setelah pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang itu terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam. – MalaysiaGazette