JAKARTA – Menteri-menteri ekonomi ASEAN telah mengesahkan strategi neutraliti karbon yang sejajar dengan komitmen Perjanjian Paris dan dapat membuka peluang ekonomi bernilai US$5.3 trilion (US$1=RM4.64).
Strategi ASEAN untuk Neutraliti Karbon bertujuan untuk menggalakkan industri hijau, menetapkan standard dan mengurangkan pelepasan melalui lapan strategi kerjasama.
Strategi itu, disokong oleh inisiatif Australia for ASEAN Futures (Aus4ASEAN), memerlukan kesegeraan dalam mencapai neutraliti karbon untuk transformasi hijau, menurut menteri-menteri tersebut dalam satu kenyataan bersama selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-55 di Semarang, Indonesia.
Menurut mereka, menangani beban karbon di ASEAN bukan sahaja mengurangkan risiko tetapi turut menawarkan peluang sosioekonomi yang besar.
Menghadapi risiko iklim yang ketara, mereka berkata perubahan iklim yang tidak terkawal boleh membawa kepada pengurangan sebanyak 11 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau menjelang 2100 dan perpindahan 87 juta orang di kawasan mudah banjir di seluruh Indonesia, Malaysia, Myanmar, Thailand dan Vietnam.
“Sebaliknya, menyasarkan neutraliti karbon dapat menjana nilai tambah KDNK sebanyak US$3.0 hingga US$5.3 trilion menjelang 2050, menarik pelaburan hijau bernilai US$3.7 hingga US$6.7 trilion dan menjana 49 hingga 66 juta pekerjaan tambahan, berdasarkan analisis oleh Boston Consulting Group.
“Manfaat ekonomi akan diagihkan ke seluruh negara-negara ASEAN,” kata mereka.
Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam dijangka mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak sembilan hingga 12 peratus manakala Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand dijangka menyaksikan pertumbuhan sebanyak empat hingga tujuh peratus serta Singapura dan Brunei boleh meningkat satu hingga dua peratus.
Dalam mencapai matlamat neutraliti karbon, menteri-menteri berkenaan menegaskan ASEAN perlu merapatkan jurang karbon dioksida (CO2) 2.6 gigatonne.
Walaupun mempunyai pelepasan per kapita yang rendah, mereka berkata peranan rantau ini sebagai hab kewangan semakin berkembang, dengan pelaburan diunjurkan meningkat dua kali ganda kepada lebih US$2.1 trilion menjelang 2030 daripada US$962 bilion pada 2023.
“Ekonomi yang pelbagai di rantau ini turut menawarkan prospek kerjasama untuk mencapai neutraliti karbon, dengan negara yang kaya dengan kuasa hidro menyumbang tenaga sifar karbon, sesetengah negara mempunyai sumber untuk bateri nikel berteknologi hijau, dan yang lain cemerlang dalam industri kenderaan elektrik,” kata mereka.
Menteri-menteri itu berkata strategi yang telah diperakui itu kini akan ke arah diterima pakai oleh Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN dan akan diiktiraf oleh pemimpin-pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-23 bulan depan.
“Kemudian, ia akan diperkenalkan kepada pihak berkepentingan ASEAN yang berkaitan untuk kerjasama berterusan dalam merealisasikan masa depan yang neutral karbon,” menurut kenyataan itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang mewakili Malaysia pada mesyuarat itu berkata, strategi ini akan membentuk masa depan yang lebih makmur dan mampan untuk penduduk ASEAN, yang sudah mencecah 672 juta.
“Malaysia komited untuk mencapai status karbon sifar bersih menjelang 2050, dan pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan, termasuk pembangunan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk sektor pembuatan Malaysia,” katanya.- BERNAMA