KUALA LUMPUR – Bagi meluaskan lagi capaian sasaran pelanggan, Co-opbank Pertama (CBP) kini menawarkan perkhidmatan pembelian takaful kenderaan dan cukai jalan secara atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Encik Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, perkhidmatan yang ditawarkan ini adalah salah satu inisiatif CBP bagi memudahkan urusan anggota dan pelanggan CBP untuk membeli dan memperbaharui takaful kenderaan serta cukai jalan mereka secara atas talian.

“Kini anggota dan pelanggan tidak perlu hadir ke cawangan untuk menyelesaikan urusan berkenaan, sebaliknya boleh melakukannya secara atas talian dan menunggu cukai jalan mereka dihantar ke rumah.

“Melalui perkhidmatan pembaharuan takaful kenderaan atas talian ini juga, pelanggan dapat membandingkan harga dan manfaat yang disediakan pelbagai pengendali takaful dan memilih pakej yang terbaik untuk mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, pelanggan-pelanggan CBP hanya perlu layari laman sesawang CBP ataupun mengimbas kod QR yang terdapat di dalam risalah produk takaful kenderaan untuk membuat transaksi pembelian sehingga selesai.

“Perkhidmatan yang disediakan ini adalah kolaborasi antara CBP dan syarikat penyedia platform digital, PolicyStreet yang bertujuan untuk mempelbagaikan kaedah CBP berurusniaga dengan anggota dan pelanggannya selain daripada kaedah urusan kaunter.

“Ini juga merupakan strategi CBP untuk menawarkan produk secara digital kepada segmen pasaran yang terdiri daripada generasi muda yang mesra teknologi,” tambahnya.

Khairil Anuar berkata, CBP turut merancang untuk menambah beberapa lagi produk dan perkhidmatan berasaskan fi kepada para anggota dan pelanggan secara digital di masa akan datang mengikut keperluan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast