Mohd Nasir Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan perlu berlapang dada dan menerima isyarat jelas daripada rakyat berhubung kelemahan pentadbirannya, kata Naib Presiden Putra, Mohd Nasir Abdullah.

Katanya, kerajaan negeri itu seharusnya cuba memperbaiki kelemahan berkenaan agar yang dikatakan perjuangan Islam akan dapat dihayati dan disokong oleh semua rakyat.

Ujar beliau, melabelkan sesetengah pihak dengan pelbagai gelaran tidak elok, tidak melambang ciri-ciri dan perjuangan Islam sebenar.

“Cuba kita perhalusi perkara semasa yang berbangkit berikutan kelemahan pentadbiran yang menjurus kepada ketidakpuasan hati rakyat yang kemudiannya diterjemahkan melalui kertas undi sebelum menuding jari kepada pihak lain.

“Inilah yang berlaku apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menang kerusi DUN Galas serta Kota Lama memfailkan saman ke atas Menteri Besar Kelantan.

“Kerana kemenangan mereka di dua kerusi itu tidak boleh diterima oleh Pas dan menuduh mereka menentang perjuangan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN ke-15 minggu lalu, Pas Kelantan menerusi gabungan dengan parti Bersatu berjaya mempertahankan negeri itu apabila menang 43 daripada 45 kerusi dipertandingkan.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim menuntut Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud memohon maaf susulan kenyataannya yang mendakwa mereka menentang perjuangan Islam.

Kedua-dua ADUN pembangkang itu memberi tempoh tujuh hari dan tindakan mahkamah akan diambil sekiranya beliau gagal berbuat demikian.

Menuru Mohd Nasir yang juga peguam apabila dua ADUN berkenaan mengambil tindakan itu, mereka dituduh mudah koyak dan tidak memahami isu kandungan teks ucapan Menteri Besar.

Persoalannya, kata beliau, adakah dengan memasuki pilihan raya dan bertanding dengan perbezaan fahaman parti dikira sebagai melawan perjuangan Islam sebagaimana dikatakan Nassuruddin.

“Lebih malang lagi ia disokong secara totok oleh ADUN Pas tanpa hujahan meyakinkan. Adakah memperjuangkan isu berkaitan dengan pampasan yang tidak setimpal di mahkamah dan juga protes melalui kertas undi dikira sebagai melawan perjuangan Islam?

“Adakah dengan protes melalui kertas undi berikutan penamatan kontrak yang tidak sah dikira sebagai melawan perjuangan Islam?” soalnya.

Kata beliau lagi, adakah rakyat melahirkan ketidakpuasan hati berikutan penebangan pokok getah yang masih dalam perbicaraan di mahkamah dikira sebagai melawan perjuangan Islam?

Begitu juga, rakyat yang protes mengenai ketiadaan air bersih di beberapa kawasan akibat kelemahan pentadbiran juga dikira sebagai melawan perjuangan Islam.

Menurutnya, agak menyedihkan apabila rakyat protes melalui kertas undi selepas dilabelkan dengan pelbagai gelaran bodoh, bengong dan lain-lain juga dianggap sebagai melawan perjuangan Islam.

“Selepas pelbagai saluran perbincangan dan mahkamah tidak mencapai kepuasan maka rakyat tiada pilihan, selain menggunakan hak mereka semasa pilihan raya.

“Siapa yang cepat koyak sebenarnya apabila rakyat tidak menyokong mereka secara total terutama di DUN Galas dan Kota Lama?” soalnya. – MalaysiaGazette