Antara aksi pemain MBSA FC dan Boss FC ketika perlawan Liga Super FAS 2023 di Stadium MBSJ malam tadi. Gambar: Facebook MBSA

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Shah Alam FC muncul juara Liga Super FAS 2023 selepas menewaskan Boss FC dalam aksi perlawanan akhir di Stadium Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) malam tadi.

Jaringan tunggal penyerang Mahadi Asharif yang melakukan rembatan deras dalam kotak penalti pada minit ke-15 memastikan kejuaraan menjadi milik MBSA FC.

Liga Super FAS 2023 menyaksikan 18 pasukan berentap merebut gelaran juara.

Terbahagi kepada dua kumpulan, perlawanan peringkat berkumpulan bermula 13 Mei lalu hingga ke peringkat kalah mati merangkumi pusingan suku akhir serta separuh akhir di Radia Arena Bukit Jelutong.

Terdahulu, pada aksi akhir Liga Perdana FAS 2023, Kelana United dinobatkan juara selepas menundukkan Putra Perwira dengan jaringan 1-0 di venue sama.

Gol kemenangan Kelana United terhasil pada minit ke-67 selepas percubaan awal Azamuddin Akil yang berada di dalam kotak penalti terkena palang kemudian bola melantun sebelum disudahkan Ilya Fitri melalui tandukan ke gawang gol.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyaksikan kedua-dua perlawanan itu serta menyempurnakan majlis penyampaian trofi dan hadiah.

Selaku juara Liga Super FAS 2023, MBSA FC membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 beserta trofi manakala Naib Juara, Boss FC menerima wang tunai RM8,000 serta trofi.

Kelana United yang memenangi Liga Perdana FAS 2023 membawa pulang wang tunai RM8,000 dan naib juara dengan hadiah wang tunai RM4,000 serta trofi dimenangi Putra Perwira. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast