Penjawat awam negara jiran antara lapan wanita warga asing ditahan polis selepas terlibat dalam kegiatan pelacuran.

GEORGE TOWN – Kakitangan kerajaan di negara jiran antara lapan wanita warga asing ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan persundalan.

Kesemua wanita berusia lingkungan 25 hingga 47 tahun ditahan di sekitar apartmen, rumah tumpangan serta hotel bajet sekitar daerah Timur Laut di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, wanita yang mendakwa sebagai penjawat awam di negara jiran itu mengaku menawarkan perkhidmatan persundalan di negara ini bagi menambah pendapatan.

Kesemua wanita itu menawarkan khidmat seks menerusi WeChat.

Jelas beliau, bagaimanapun, polis dalam usaha bagi mendapatkan pengesahan berkaitan maklumat berhubung penjawat awam itu daripada pihak kedutaan negara berkenaan.

“Siasatan lanjut juga mendapati kesemua wanita itu mencari pelanggan menerusi aplikasi WeChat dengan mengenakan kadar bayaran antara RM150 hingga RM250 bagi mendapatkan perkhidmatan seks.

“Masing-masing mereka didapati memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial.

“Turut dirampas dalam serbuan itu wang tunai RM2,200 serta beberapa peralatan yang diguna bagi menjalankan aktiviti persundalan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Soffian, kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru untuk tindakan lanjut.

Masing-masing masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1959,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai mendakwa seorang daripada wanita yang ditahan adalah isteri kepada pegawai penjawat awam berpangkat besar di luar negara. – MalaysiaGazette