Dr. Mohammad Fairus Khairuddin

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini negara digemparkan dengan tindakan seorang peguam wanita Muslim melakukan suatu tindakan amat tidak wajar berkaitan Mahkamah Syariah di Malaysia, khususnya di Kelantan.

Tindakan peguam itu, Nik Elin Zurina Abdul Rashid yang hadir ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya membawa petisyen mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan adalah sesuatu tidak wajar dilakukan terhadap kemuliaan, kedaulatan dan maruah institusi mulia Mahkamah Syariah di negara ini.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam dan Kepimpinan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Mohammad Fairus Khairuddin berkata, tindakan itu suatu langkah ke belakang dan amat tidak sopan serta angkuh terhadap perjuangan pelbagai pihak yang berusaha mengangkat harakat dan martabat Mahkamah Syariah.

Kata beliau, implikasi daripada tindakan dan usaha membatalkan kesalahan jenayah syariah itu begitu besar dan dahsyat sehingga impaknya boleh meruntuhkan keseluruhan undang-undang jenayah syariah di setiap negeri.

“Malah, ia boleh menyebabkan enakmen kesalahan jenayah syariah negeri kehilangan kekuatannya dalam menjaga dan melindungi umat Islam di negara ini.

“Sekiranya wanita itu menang, bermakna mahkamah syariah tidak ada lagi kuasa menentukan hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah seperti minum arak, berjudi, berzina dan lain-lain.

“Maka, dengan sendirinya kuasa mahkamah syariah akan semakin mengecil dan segala usaha untuk memartabatkan hukum Islam di negara ini semakin terhimpit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Mohammad Fairus yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra mempersoalkan, apakah semua itu hanya satu kebetulan atau bagaimana?

“Sesungguhnya, semua ini telah dirancang secara teliti oleh kalangan yang tidak mahu melihat agama Islam dan syiarnya diperkasakan di negara ini.

“Kalangan ini bukan baharu dalam membuat segala perancangan keji ini, bahkan sejak 10 tahun lepas ia telah bermula secara cukup strategik,” katanya.

Mantan Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang ini juga turut mempersoalkan, apakah mereka akan berhenti sekadar di situ sahaja atau akan terus berusaha mencabar perkara lain berkaitan dengan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan?

Katanya, kemungkinan ada lagi perkara lain yang bakal mereka bawa ke mahkamah.

“Adalah dijangkakan mereka terus berusaha untuk memastikan kedudukan Islam sentiasa dicabar agar akhirnya nanti akan terpinggir menjadi tidak lebih dari sekadar amalan ritual semata-mata seperti fahaman bukan Islam yang lain di Malaysia.

“Oleh itu, Biro Hal Ehwal Islam dan Kepimpinan Putra dengan ini menggesa semua pihak iaitu seluruh umat Islam di negara ini bangkit dan bersatu mempertahankan kedaulatan undang- undang syariah negeri sebagaimana terkandung dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

“Kita harus bersatu membela segala keluhuran dan kedaulatan ad-Deenul Islamiyyah dari segala dimensinya sebagai suatu cara hidup dan juga pemerintahan,” ujar beliau.

Beliau berharap segala usaha dilakukan semua pihak diredhai Allah dan RasulNya kerana setinggi-tinggi jihad perjuangan iaitu mempertahan dan membela ketinggian serta kemuliaan agama Allah dengan memelihara setiap langkah selaras dengan keluhuran undang-undang negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.