Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Ahli Lembaga Pengarah dan warga Kedah Darul Aman FC  (KDA FC) merakamkan ucapan tahniah kepada bekas lagenda bola sepak negeri itu, Muhammad Radhi Mat Din atas lantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

KDA menerusi hantaran Facebook rasmi miliknya berharap daya kepimpinan Muhammad Radhi sebagai kapten pasukan Kedah suatu masa dulu hingga digelar Kapten Marvel dapat memberi kekuatan untuk berkhidmat dengan cemerlang dengan jawatan baharu itu.

“Yang Berhormat Haji Muhammad Radhi Mat Din yang cukup terkenal dengan jolokan Kapten Marvel adalah pemain legenda yang beraksi bersama pasukan Kedah sejak 1986 hingga 2000 dan antaranya selain kejuaraan yang dikecapi zaman 90an, Haji Muhd Radhi merupakan pemain Kedah yang telah beraksi 7 kali perlawanan akhir Piala Malaysia. Beliau juga adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah KDA FC.

“Semoga daya kepimpinan sebagai kapten pasukan Kedah suatu masa dulu, digelar Kapten Marvel, diberikan kekuatan untuk berkhidmat dengan cemerlang sebagai EXCO Kerajaan Negeri Kedah,” tulis KDA FC di siuni.

Radhi antara 10 Exco yangh selesai mengangkat sumpah sebagai EXCO di hadapan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit di Alor Star pagi ini.

Pada Plihan Raya Negeri pada 12 Ogos lalu, Radhi mengalahkan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar di Dewan Undangan Alor Mengkudu dengan majoriti 10,104 undi.

Beliau memperoleh 18,936 undi manakala Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah meraih 8,832 undi.

Muhamad Radhi sebelum ini pernah membuat kemunculan sulung di pentas politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 namun kalah ketika bertanding atas tiket Pas di Parlimen Pokok Sena. – MalaysiaGazette