KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mempersoalkan pihak yang hanya bersuara ketika parti kalah dalam pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos lalu.
Ketua UMNO Bahagian Pengerang itu berkata, adalah sesuatu yang pelik dan ajaib ketika nama calon dikemukakan ia diterima dan semasa watikah pencalonan diberi Pengerusi Barisan Nasional (BN) dipuji.
“Ketika kita kemukakan 108 kerusi untuk ditandingi, tiada siapa merungut malah ada juga yang merasakan jumlah itu tak cukup.
“Tetapi hari ini, ada pula suara-suara sinis apabila ada kerusi yang kalah. Suara-suara ini tidak pula kedengaran ketika watikah diserahkan.
“Pengerusi BN sendiri beri kebebasan kepada perhubungan negeri dan ketua bahagian dalam pemilihan calon yang difikirkan layak. Sebab itu saya katakan, ia tanggungjawab bersama,” tegas Azalina dalam kenyataan.
Hakikatnya menurut beliau, parti meletakkan calon di 108 kerusi yang berpotensi menang dan juga berpotensi kalah kerana itu adalah realiti sistem demokrasi pilihan raya.
Selaku Ketua Penerangan UMNO beliau telah membaca dengan teliti semua pandangan serta teguran yang dilontarkan oleh pelbagai pihak sama ada dari UMNO mahupun luar parti.
Pandangan serta teguran tersebut yang diberikan menurut Azalina, merupakan satu manifestasi bahawa ramai yang sayang kepada parti yang ditubuhkan sejak 1946.
“Inilah amalan demokrasi dalam parti di mana setiap ahli boleh beri pandangan. Tetapi dalam konsep demokrasi juga, ada calon kalah dan ada yang menang dalam pilihan raya. Sudah tentu kita tahu dan faham akan realiti ini.
“Memang mudah untuk menuding jari terutama apabila kita kalah. Dalam pilihan raya, kalah satu undi tetap kalah. Menang satu undi, tetap menang,” katanya.
Azalina juga mempersoalkan pihak yang meletakkan kekalahan BN di bahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedangan beliau tidak bertanding dalam pilihan raya negeri.
Katanya, dalam mana-mana pilihan raya formula kemenangan mengambil kira faktor calon, pengundi serta cabaran yang dihadapi.
Beliau mengingatkan, ketika UMNO diserang selepas pilihan raya umum ke-14 Ahmad Zahid tidak meninggalkan parti.
Presiden UMNO itu terus berdiri teguh mempertahankan parti apabila ada pihak mendesak supaya UMNO dibubarkan.
“Selepas enggan akur kepada desakan untuk bubarkan UMNO, (Ahmad Zahid) terus didakwa di mahkamah sehingga ke hari ini,” kata Azalina.-MalaysiaGazette