KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak perlu mengubah pengerusi gabungan itu untuk menang dalam pilihan raya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebaliknya ahli parti itu perlu mahir dengan perang saraf di media sosial.
“Apa yang perlu kita ubah bukan presiden tetapi cara bagaimana kita bekerja dan menggerakkan kempen kita.
“Antara cabaran utama yang kita masih ketinggalan ialah peperangan saraf di platform digital.
“Pendekatan konvensional bersemuka tidak lagi menjadi tunjang utama kempen hingga ada ceramah fizikal tidak mendapat sambutan walhal, kempen sebenar adalah di platform digital,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, BN menghadapi defisit pengetahuan dan penguasaan platform digital sedangkan pihak lawan berbelanja tanpa had menggunakan medium tersebut bagi mempengaruhi pengundi.
Negara menurut beliau, tidak mempunyai peraturan atau undang-undang yang boleh menyekat propaganda tanpa had pihak lawan yang menggunakan dana yang banyak kerana penyedia platform berpengkalan di luar negara.
Justeru Azalina berkata, BN perlu sedia untuk berubah menjadi parti yang lebih mahir dan memiliki pengetahuan menguasai teknologi digital dan Kerajaan Perpaduan juga perlu bersedia dengan penguasaan perang saraf di platform digital
“Adalah penting untuk saya tegaskan, gabungan ini bukanlah satu kesatuan yang sempurna namun ada ruang untuk pembaikan dan yang pasti, Kerajaan Perpaduan ini dibina dengan mencari titik persamaan, iaitu demi agama, bangsa dan negara.
“Dan sudah tentu, bagi UMNO sendiri, parti ini akan terus menjadi suara dalam Kerajaan Perpaduan selari dengan perjuangannya, iaitu melindungi agama Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu,” jelas beliau,
UMNO juga akan menjadi suara kepada kedaulatan undang-undang dan segala kelemahan, kekurangan dan salahguna dalam pelaksanaan undang-undang dan proses keadilan dibangkitkan melalui saluran yang betul.
Ini kerana UMNO perlu menghormati pengasingan kuasa yang terdiri daripada badan eksekutif, kehakiman dan perundangan.-MalaysiaGazette