Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Dana program iTEKAD yang membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan ditambah lagi sebanyak RM6 juta.

Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan peruntukan tambahan tersebut berkata, program yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia sebelum ini telah menerima peruntukan RM4 juta dalam Belanjawan 2023.

Menurut beliau, kos pengurusan iTEKAD lebih rendah berbanding program pembiayaan lain yang dikendalikan oleh kementerian dan program itu juga tidak memberi tekanan kewangan kepada Kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Kerjasama iTEKAD di Sasana Kijang yang turut dihadiri oleh Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Anwar berharap jumlah penyertaan bank dalam program berkenaan dipertingkatkan daripada 11 ketika ini kepada 20 buah.

“Saya harap dalam beberapa bulan ini jadi 20 kalau tidak nanti saya minta untuk lihat senarai yang belum masuk.

“Kenapa saya tekankan ini, bila bank pusat dan bank lain menguruskan program seperti ini kita lebih yakin dari segi keberkesanan dan impak. Ini satu pujian.

“Saya harap bank lain yang belum lagi menyertai dapat menerima jemputan ini,” kata Anwar.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, program iTEKAD boleh dikembangkan penyertaannya oleh kementerian berkaitan yang sekali gus mampu melonjakkan ekonomi rakyat.

Menurut Anwar, beliau akan meminta Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Kementerian Pembangunan Wilayah dan Desa serta Kementerian Kewangan untuk menyertai program tersebut.

Beliau juga yakin BNM boleh mengajak majlis agama dan pusat zakat menambahkan penyertaan dalam iTEKAD.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, sehingga hari ini, lebih 40 peratus peserta iTEKAD telah berjaya menjana pendapatan melebihi RM4,000 sebulan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berucap Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2023.

Manakala 70 peratus pula mampu menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja dan lebih 70 peratus mampu menabung sehingga RM4,000 sebulan.

Menurutnya, lebih 90 peratus peserta menjalankan jualan dan pemasaran dalam talian serta menggunakan e-pembayaran untuk transaksi perniagaan mereka.

BNM kini dalam proses menilai beberapa permohonan program baharu yang akan memanfaatkan lebih ramai lagi peserta.

Bermula dengan sebuah program yang dikelolakan oleh satu institusi kewangan, dua rakan pelaksana dan 57 peserta inisiatif iTEKAD telah berkembang dan melibatkan 11 institusi kewangan lebih 50 rakan pelaksana

Menurut Abdul Rasheed, program itu yang hanya bermula di enam negeri kini telah memberi manfaat kepada lebih daripada 3,000 peserta di seluruh negara.

Setakat ini iTEKAD telah menggerakkan lebih 40 juta ringgit dana kewangan sosial dan telah memberikan manfaat yang ketara kepada pesertanya.- MalaysiaGazette