Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan pertunjukkan bunga api sambil mengibarkan jalur gemilang sempena ambang sambutan Hari Kebangasaan Ke-65 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 OGOS 2022.

Oleh: Rozita binti Alias @ Abdul Latiff

TANGGAL 31 Ogos 1957 merupakan peristiwa bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia di mana Stadium Merdeka menjadi saksi laungan Kemerdekaan bergema dengan kehadiran ribuan rakyat.

Pengisytiharan kemerdekaan yang menandakan Tanah Melayu bebas daripada penjajahan British secara rasminya sejak lebih 170 tahun lampau merupakan saat yang dinantikan oleh semua rakyat dengan penuh debar.

Upacara Pengisytiharan Kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Putra Al-Haj dihadiri lebih 20,000 rakyat Persekutuan bersama-sama Raja-Rajanya serta perwakilan daripada negara-negara Komenwel dan negara-negara asing lain menyaksikan acara pengisytiharaan itu.

Kini setelah 66 tahun Malaysia Merdeka, pelbagai pembangunan dikecapi oleh segenap lapisan masyarakat untuk dinikmati bersama secara toleransi dan harmoni. Malah setiap tahun pada 31 Ogos, Malaysia akan meraikan kemerdekaan tanah air ini dengan pelbagai cara.

Tema kemerdekaan
Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan ke 66 dan Hari Malaysia tahun 2023 seperti diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil pada 27 Mei lalu.

Konsep Malaysia Madani yang dipilih bertunjangkan sikap saling hormat menghormati, meraikan kepelbagian dan menjadi medan dialog peradaban. Kerangka Malaysia Madani menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan.

Selain, ia merupakan satu simbolik penyatuan rakyat Malaysia agar menghargai detik keamanan, kemerdekaan serta kebebasan yang dinikmati pada masa sekarang.

Erti kemerdekaan
Dewasa ini, kebanyakan generasi muda menganggap merdeka itu hanya bebas daripada cengkaman penjajahan dan menghayatinya dengan sekadar melaungkan slogan Merdeka! serta mengibar Jalur Gemilang semata.

Namun golongan ini perlu sedar bahawa kemerdekaan jiwa dan minda perlu dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk melalui empat aspek utama, iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.

Sedar ataupun tidak, generasi muda pada hari ini berhadapan dengan ancaman penjajahan bentuk baharu iaitu pemikiran dan budaya asing menerusi pelbagai platform media sosial seiring dengan kepesatan teknologi digital masa kini.

Perkara ini perlu diberikan perhatian
khusus oleh semua agar golongan muda tidak terus hanyut dengan ‘dunia’ mereka tanpa pengawasan daripada keluarga serta sektor pendidikan.

Semangat patriotisme
Semangat patriotisme cintakan tanah air perlu ditanam utuh dalam diri masing-masing terutamanya generasi muda kerana mereka tidak melalui fasa perit jerih membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.

Penghayatan erti sebenar kemerdekaan perlu diterap kerana ia akan menaikkan lagi semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri malah menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu serta memahami asal usul sejarah kemerdekaan tanah air.

Kesejahteraan dan keharmonian negara kita pada hari ini tentunya tidak akan dikecapi tanpa pengorbanan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan.

Tanpa mereka, negara kita mungkin masih dijajah oleh penjajah.

Ayuh sama-sama semua rakyat Malaysia mengambil peluang menghayati erti sebenar sebuah kemerdekaan kerana kemerdekaan itu bukan sekadar berkisar tentang sejarah
semata-mata malah ada perjuangan, keringat dan air mata yang telah dilaburkan.


Penulis adalah Pegawai Tadbir,
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast