PUTRAJAYA – Kerajaan mampu menjimatkan kos sehingga RM75 juta melalui kerjasama strategik dalam bidang kesihatan dan kebombaan di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kerjasama itu mampu meningkatkan keupayaan serta kualiti perkhidmatan kepada masyarakat khususnya menerusi Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Kita percaya usaha menubuhkan EMRS, kerajaan mampu menjimatkan kos kira-kira RM15 juta setahun atau RM75 juta dalam tempoh lima tahun. Ini satu penjimatan besar dan dapat memberi manfaat kepada rakyat.
“Selain itu, sumber dan kepakaran sedia ada di antara kedua-dua kementerian dari segi kecekapan, penjimatan, masa, kos semua bakal dipertingkatkan.
“Malah semasa pra pelancaran EMRS, kita sudah selamatkan pesakit jantung yang kritikal di Langkawi dan sempat di hantar ke Lembah Klang untuk mendapatkan rawatan,” katanya pada sidang media di KKM, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) Kerjasama Strategik Bidang Kesihatan dan Kebombaan di antara KKM dan KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Upacara menandatangani NoU disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Norazman Ayob.
Tambah Kor Ming, melalui kerjasama ini, JBPM mendapat bantuan daripada KKM berkaitan Latihan Advance First Responder (Basic Course).
“Pegawai-pegawai bomba dilatih sehingga diiktiraf oleh KKM seterusnya layak menganggotai Pasukan EMRS.
“JBPM telah mempunyai seramai 1,860 pegawai bomba yang ditauliahkan oleh KKM bagi pasukan EMRS dan telah ditempatkan di 197 balai bomba seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Dr Zaliha pula berharap kolaborasi strategik dengan JBPM dapat mempertingkatkan usaha KKM dalam mengurangkan tempoh masa perjalanan bagi pemindahan pesakit.
“Lebih-lebih lagi pesakit yang berada dalam kategori kritikal dan memerlukan rawatan segera serta meminimumkan risiko kematian.
“Salah satu elemen penting melibatkan kerjasama ini dalam penggunaan helikopter EMARS bagi mempercepatkan urusan pemindahan pesakit dan pengangkutan berkaitan perubatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette