IPIC Najib
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Seluruh pasukan pendakwaan dalam kes International Petroleum Investment Company (IPIC) yang terdiri daripada tujuh timbalan pendakwa raya dan lima pegawai penyiasat sebulat suara berpendapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak patut didakwa.

Perkara itu merupakan antara intipati kandungan memo dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes tersebut yang tular dan dikongsi dalam laman Facebook Najib Razak hari ini.

Selain itu, pentadbir laman Facebook berkenaan berkata, tiada satu daripada kesemua 138 kenyataan saksi memihak kepada pihak pendakwaan.

“Tak berbeza sekiranya caj dipinda pun sebab tiada bukti Najib melakukan kesalahan.

“Tiada satu bukti menujukkan bahawa Najib bersalah selepas pasukan pendakwaan membuat analisis terperinci semua bukti yang dikumpul,” katanya.

Pada Khamis lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, AGC sedang menyiasat dakwaan kebocoran dokumen berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion dana kerajaan membabitkan pembayaran kepada IPIC.

Dokumen bertarikh 10 September 2019 mengandungi 12 muka surat itu didakwa ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Keesokannya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mendesak Idrus menyiasat kesahihan dokumen yang didakwa ‘memo dalaman’ oleh pasukan pendakwaan dalam kes IPIC itu.

Sebelum itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa menggesa AGC menggugurkan enam pertuduhan dalam kes tersebut terhadap bapanya dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast