Datuk Dr. Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Situasi wabak Pertussis di Kampung Bahagia di Rompin terkawal dan kawasan tersebut selamat dikunjungi orang ramai.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, terdapat tiga kes wabak itu dikesan di lokaliti terbabit, namun ia bukan luar biasa kerana pernah berlaku sebelum ini.

“Penggunaan terma ‘wabak’ itu digunakan apabila dua atau lebih penyakit ditemui dalam sesuatu lokaliti. Jadi, meskipun terdapat tiga kes sahaja buat masa ini, ia tetap dipanggil ‘wabak’ lah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Kesihatan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Nor Azimi berkata, tiada kes baharu dikesan di Kampung Bahagia sejak 17 Ogos lalu.

Jelasnya, sehingga ke hari ini, hanya tiga kes yang dikesan melibatkan seorang wanita dan dua anaknya iaitu bayi berusia dua bulan yang dikesan pada 7 Ogos, dan kanak-kanak berusia 2 tahun yang dikesan pada 13 ogos.

“Selepas kita kesan wabak ini, seperti juga wabak penyakit berjangkit yang lain, Pihak Kesihatan Rompin terus melaksanakan aktiviti kawalan dan melakukan pencarian kes secara aktif atau ‘active case detection‘ di Kampung Bahagia tersebut sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di kampung berdekatan iaitu di Kampung Sepakat, Kampung Perepat dan Kampung Taman Orkid selain mengenalpasti 37 orang kontak rapat iaitu ahli keluarga atau kenalan rapat yang ada berhubung dengan keluarga itu dan mereka telah memberi rawatan antibiotik Profilaksis.

Menurut Dr. Nor Azimi, pihaknya telah memeriksa hampir 50% penduduk di kampung tersebut iaitu kira-kira 370 orang dan tiada kes baharu yang didapati.

Katanya, andai kata tiada kes baharu dikesan selepas 14 hari kes terakhir, wabak Pertussis di Kampung Bahagia akan tamat pada 29 Ogos ini. – MalaysiaGazette