Oleh Prof. Dr. Arifin Abdu
MAHASISWA usah berasa selesa di universiti dengan mengabaikan tanggungjawab mereka kepada komuniti hanya kerana penglibatan dengan komuniti tidak banyak menyumbang kepada pemarkahan pengajian mereka.
Dari sudut komuniti, mereka berharap agar mahasiswa menjaga keseimbangan sosial, mengilhamkan perubahan positif, membentuk kepemimpinan masa depan, menjadi kekuatan moral, dan memulihara kebudayaan bangsa.
Komuniti mengharapkan mahasiswa yang mendapat keistimewaan pendidikan tinggi boleh membantu mereka semula kerana imej mahasiswa bercitra tinggi.
Mahasiswa perlu lebih awal didedahkan dengan permasalahan komuniti untuk membentuk mereka menjadi pemimpin pelapis yang prihatin terhadap rakyat.
Mendekati komuniti selepas bergraduat agak terlewat kerana mahasiswa adalah sebahagian daripada ahli komuniti yang berperanan mendidik kesejahteraan komuniti hasil pembudayaan keilmuan tinggi menara gading.
Program Semarak Siswa Madani (SSM) hasil cetusan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini bertujuan agar mahasiswa berkongsi ilmu, inovasi, teknologi dan melaksanakan aktiviti khidmat komuniti dengan lebih strategik.
Sejak dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, beliau komited dalam usaha-usaha pemerkasaan mahasiswa secara holistik dan membentuk mahasiswa yang lebih dinamik, progresif, beradab dan berkeperibadian unggul.
Datuk Seri Khaled mengambil serius pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk menyerahkan kepada mahasiswa kebebasan menguruskan Pilihanraya Kampus, Pengurusan dan Pelaksanaan Aktiviti Pelajar, Pengurusan Kewangan Aktiviti Pelajar dan Aktiviti Politik Dalam dan Luar Kampus.
Program SSM yang mendapat penglibatan daripada kesemua mahasiswa institusi pengajian tinggi peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menyediakan platform kepada mahasiswa untuk mempromosikan idea-idea baharu seperti teknologi, sains, ekonomi, pertanian bandar yang bersifat ihsan dan mampan.
Pelbagai program seperti sukan, rekreasi, pameran, pendidikan, perkhidmatan, dan pengembangan dianjurkan mengikut zon institusi pengajian tinggi setiap negeri ke arah memperkukuhkan hubungan mahasiswa dengan komuniti.
Program secara dua fasa dari Julai hingga Disember 2023, dan Fasa 2 pada Januari hingga Jun 2024 ini memupuk semangat Malaysia Madani kepada komuniti melalui penglibatan mahasiswa.
Inisiatif Semarak Siswa Madani ini berfokus kepada empat komponen utama aktiviti khidmat komuniti serta perkongsian ilmu dam inovasi, iaitu KPT Prihatin Madani, Student for Society, Knowledge Transfer Programme @Komuniti dan TVET @Komuniti Madani.
KPT Prihatin Madani merujuk kepada kesejahteraan komuniti melalui akiviti aktiviti kesihatan, pendidikan dan kebajikan. Sementara Student for Society ialah perkongsian ilmu dan kemahiran kepada komuniti melalui aktiviti kesukanan, kesukarelawanan, keusahawanan dan pendidikan.
Seterusnya, Knowledge Transfer Programme@Komuniti ialah pemindahan ilmu kepada komuniti untuk memperluaskan ilmu komuniti melalui aktiviti inovasi sosial, upaya masyarakat dan basmi kemiskinan.
TVET @Komuniti Madani merujuk kepada penyampaian perkhidmatan berasaskan TVET kepada komuniti melalui aktiviti penyelenggaraan kenderaan, penyelenggaraan penyaman udara, pendawaian elektrik serta pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam program Semarak Siswa Madani yang diterajui oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada bulan lalu di Kampung Sungai Kertas, Gombak; Tanjung Karang; Gombak Setia di Batu Caves; Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong dan Damansara telah menampilkan inisiatif dan projek mahasiswa UPM yang memberi impak kepada komuniti dan pemegang taruh.
Sehubungan itu seramai 200 mahasiswa UPM bertemu komuniti Gombak untuk berkongsi inovasi Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) yang merupakan satu konsep pertanian bandaran bagi menjana pendapatan keluarga.
PTC yang merupakan hasil inovasi dan pengembangan projek oleh komuniti, pelajar dan pensyarah UPM telah membuat demonstrasi bersama 300 komuniti di Gombak menggunakan tong plastik biru berukuran 160 liter untuk menanam plot tanaman yang menjimatkan ruang tanah.
Peralatan pertanian bandar tersebut yang tahan lima tahun menyumbang kepada jaminan keselamatan makanan dengan melibatkan komuniti bandar sebagai petani yang membolehkan sekali tuaian melalui satu tong plastik, menghasilkan purata 4 kilo sayur-sayuran.
Sementara itu dalam program Semarak Siswa Madani bersama 150 komuniti di Tanjung Karang pula, seramai 100 pelajar berkongsi pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai satu latihan sosial untuk memperkenalkan idea baharu mahasiswa.
Program itu memberikan pendedahan kepada komuniti luar bandar tentang kepentingan STEM dalam kehidupan seharian dengan menghasilkan alatan bermanfaat berkonsepkan sains serta menafikan persepsi murid-murid bahawa pembelajaran STEM adalah susah dan membosankan.
Kedua-dua inovasi PTC dan STEM oleh mahasiswa UPM ini membuka peluang mereka mengembangkan kemahiran, bakat serta latihan berfikir secara kritis dan kreatif dalam menangani masalah komuniti setempat.
Dalam program SSM peringkat antarabangsa, seramai 25 pelajar UPM telah menjalani program mobiliti itu di Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun pada 19 Julai hingga 1 Ogos baru-baru ini dengan dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan Mahasiswa Negeri Johor.
Kesemua mahasiswa akan berkongsi kemajuan sains dan teknologi Jepun yang telah dipelajari dengan komuniti tiga kawasan di Johor kelak.
Program Semarak Siswa Madani peringkat kebangsaan fasa pertama sehingga Disember 2023, dan Fasa 2 pada tahun hadapan ini merupakan satu anjakan yang ampuh untuk memperkukuhkan jaringan akrab mahasiswa dan komuniti selepas ini.
Usaha ini berupaya memperkasakan kepemimpinan dan pembangunan bakat mahasiswa dalam pengurusan projek, dan boleh menjana pendapatan bersama komuniti.
Pemerkasaan mahasiswa ini bukan untuk menguji pengurusan aktiviti mahasiswa tetapi untuk melatih mereka sebagai pemimpin pelapis dengan melibatkan diri sejak awal supaya ambil peduli kemajuan komuniti seperti dalam Konsep Malaysia Madani.
Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Universiti Putra Malaysia