SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan memuktamadkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) paling lewat, esok.
Kata beliau, sebaik dimuktamadkan, esok juga semua anggota Exco akan bermesyuarat kali pertama dengan portfolio masing-masing.
“Hari ini saya akan berbincang dengan pihak pimpinan utama parti dan sama ada petang atau malam ini saya berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk muktamadkan senarai tersebut.
“Esok saya akan maklumkan kepada semua Exco (mengenai portfolio masing-masing),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam dan pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, pihaknya terpaksa menyelaraskan semula tugas Exco negeri sesuai dengan portfolio di peringkat Persekutuan sebab ada kementerian baharu ditubuhkan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Speaker) pula katanya, ia akan dimaklumkan selepas sambutan Hari Malaysia.
“Kita akan maklumkan pelantikan Speaker selepas Hari Malaysia, sebab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijangka mengangkat sumpah pada hari pembukaan sidang DUN selepas Hari Malaysia.
“Mungkin sehari sebelum hari angkat sumpah kita akan umum sebab Speaker sebelum ini, Ng Suee Lim sudah dilantik sebagai anggota Exco.
“Maknanya, tiga jawatan kosong iaitu Speaker dan dua Timbalan Speaker berikutan calon DUN Morib dan Paya Jaras kalah dalam PRN baru-baru ini,” katanya. – MalaysiaGazette