KUALA LUMPUR – Parti DAP sejak dari dahulu adalah parti yang bersifat ‘centrist‘ atau parti yang mempunyai pandangan dan dasar politik yang sederhana.
Veteran DAP Tan Sri Lim Kit Sang berkata, beliau tidak bersetuju dengan analisa yang meletakkan DAP di satu hujung dalam spektrum politik bertentangan dengan Pas.
“Sedangkan DAP sentiasa merupakan salah satu parti centrist di Malaysia. Presiden Pas (Tan Sri Abdul) Hadi Awang, cuba untuk meletakkan DAP di hujung ekstrem spektrum politik.
“Dengan tuduhannya yang mengatakan kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, dan juga komunis.
“Tetapi dia gagal untuk memberikan satu bukti sekali pun untuk tuduhan liar dan tidak masuk akalnya ini. DAP adalah satu parti untuk semua rakyat Malaysia,” kata Kit Siang.
Beliau mengulas analisa seorang pemerhati sains politik yang mengatakan kekuatan Pas dan DAP yang semakin meningkat berpunca dari kegagalan Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional yang bersifat pertengahan (centrist) sejak tahun 1990 dengan isu kepimpinan yang lemah, tadbir urus yang tidak bagus, dan rasuah.
Kit Siang turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin kerana telah dipilih sebagai Exco Melayu DAP pertama dalam Kerajaan Negeri Selangor.
Katanya, DAP mampu untuk menang di kerusi majoriti Melayu seperti Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek yang 60 peratus pengundi adalah kaum itu seperti yang ditulis oleh bekas Ahli Parlimen DAP Ong King Ming baru-baru ini.
“Saya seru kepada semua golongan muda rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, politik, atau kawasan, untuk menyokong cita-cita untuk Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia.
“Dan untuk kita mengelakkan nasib dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka dalam dekad-dekad yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.-MalaysiaGazette