KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan sisa minyak memasuki Sungai Langat melalui pembentung kira-kira 123 meter dari muka sauk loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11, kira-kira jam 10.45 pagi semalam.
LUAS menerusi kenyataannya hari ini berkata, sisa minyak itu dikesan setelah menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).
Menurut LUAS, siasatan awal pihaknya bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) mendapati punca aliran minyak tersebut daripada sebuah premis aktiviti kuari.
“Premis ini tertakluk kepada Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang mengalir masuk melalui culvert bawah tanah ke saliran bersebelahan premis kilang kayu dan akhirnya ke Sungai Langat.
“Semakan LUAS di premis aktiviti kuari tersebut juga menemukan aliran kesan dan bau minyak yang kuat. Penemuan punca aliran berminyak ke muka sauk LRA itu kira-kira 366 meter.
“LUAS juga membuat Pensampelan di beberapa lokasi berkaitan dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya,” kata LUAS dalam satu kenyataan, hari ini.
LUAS juga menyekat aliran berminyak tersebut menggunakan oil boom dan oil pad serta merawat aliran air menggunakan karbon teraktif (AC) bagi tujuan nyah bau sebelum ia masuk ke Sungai Langat.
“Peletakan oil boom di kawasan muka sauk LRA Cheras Batu 11 juga dilaksanakan bagi tujuan kawalan dan langkah pencegahan bagi aliran berminyak,” kata LUAS.
Dalam pada itu, LUAS mengarahkan premis terlibat melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan segera mengikut peruntukan Seksyen 121 (1) Enakmen LUAS 1999.
Selain itu, LUAS juga telah mengarahkan kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak dengan segera bagi memastikan tiada lagi baki aliran tercemar masuk ke dalam sungai.
“Pemantauan statik dijalankan oleh LUAS setiap 30 minit di Sungai Langat sebelum muka sauk LRA Cheras Batu 11.
“Pensampelan ujian bau menunjukkan bacaan sifar ton dan keadaan air sungai kembali normal,” kata LUAS.
Jelas LUAS lagi, siasatan dan tindakan kawalan segera itu membolehkan LRA Cheras Batu 11 beroperasi semula kurang dari empat jam selepas dihenti tugas sementara pada jam 10.45 pagi sehingga 2.30 petang semalam.
“Tiada gangguan bekalan air yang dilaporkan oleh pihak Air Selangor.
“Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS menyeru kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya, dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera.
“Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette