KUALA LUMPUR – MSQ Engineering & Solution Sdn. Bhd. mengumumkan kerjasama rasmi dengan Universiti Malaya (UM) dalam usaha pembangunan teknologi bagi perdagangan karbon secara sukarela dan program pelaburan ESG di Asia Tenggara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MSQ, Rehanfairuz Mohd Jamil, program dengan UM menerusi Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial itu dijangka bermula pada suku terakhir tahun ini di Thailand.
Katanya, pihaknya juga menandatangani Memorandum Tawaran Projek Perdagangan Karbon di Thailand bersama Brodus Project Co. Ltd yang turut hadir pada majlis tersebut.
“MSQ telah pun memulakan usaha untuk merealisasikan perdagangan karbon di Thailand sama ada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
“Ini selari dengan usaha kerajaan Thailand yang telah memulakan inisiatif sejak September tahun lalu bagi mencapai karbon sifar menjelang 2050 serta menangani kemerosotan ekosistem, biodiversiti, kesihatan serta perubahan iklim,” katanya di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau bersama Pengarah Urusan Brodus Projek, Charinrat Netsuepsai menandatangani MoU yang disaksikan Pengerusi MSQ, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar dan wakil Brodus Projek, Narumon Boribal.
Turut hadir, Pensyarah Jabatan Geografi UM yang juga Ketua Penyelidik Inisiatif Perdagangan Karbon MSQ, Dr. Nisfariza Mohd Noor dan Penasihat Pembangunan Perniagaan Brodus Projek, Apollon Zorich.
Menurut Rehanfairuz, gabungan pakar industri bertauliah dari MSQ dan kerjasama dengan kumpulan saintis serta penyelidik daripada UM sejak 2022 berjaya membangunkan teknologi solusi penuh melibatkan mekanisme berteknologi tinggi, operasi dan pasaran yang terbukti melalui penyelidikan terperinci serta melakukan kajian kes sebenar di lapangan.
Teknologi itu, katanya, bukan semata-mata platform kalkulator kredit karbon seperti terdapat di pasaran, tetapi menggabungkan teknologi perlombongan data melalui ‘remote sensing’ dan dron.
“Teknologi ini kemudiannya dipindahkan ke dalam platform pangkalan data dan aplikasi secara langsung, sebelum diproses mengikut piawaian dan kaedah ditetapkan di peringkat global.
“Sistem ini juga memaparkan data lebih tepat dan menjamin integriti data yang akan digunakan bagi perdagangan karbon, selain turut melindungi privasi data pelanggan bagi menjaga kepentingan awam dan kedaulatan negara masing-masing sepanjang tempoh program dilaksanakan,” katanya.
Kata beliau, Thailand akan menjadi negara pertama menggunakan teknologi itu kerana kesiapan negara tersebut, terutama pemain industri pelbagai sektor yang bersedia melakukan perdagangan karbon.
Hasil daripada inisiatif pembangunan teknologi itu membuka ruang dan peluang untuk memperluaskan lagi usaha perdagangan karbon menuju karbon sifar pada tahun 2050 di seluruh Asia Tenggara khususnya di Malaysia pada masa depan. – MalaysiaGazette