PETALING JAYA – Seorang pengarah telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi atas kesalahan memalsukan dokumen syarikat.
Tertuduh, Maran Virumandi, 46, warga tempatan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.
Terdahulu, suspek yang berpakaian formal dengan tanganya bergari di belakang telah dibawa oleh anggota polis ke mahkamah jam 9.30 pagi tadi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Overseas Union Garden dekat Jalan Klang Lama didapati dengan curangn telah memalsukan dokumen-dokumen iaitu laporan dan penyata kewangan bertarikh 28 Februari 2017, penyata kewangan bertarikh Februari 2018, Resit Perjanjian Penyewaan bertarikh 30 Mei 2017 dan dokumen acceptance receipt HP agreement bertarikh 30 September 2019 yang mana mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara tahun 2015 hingga 2016 bertempat di Syarikat W.K.Lee & Co di No 1F 1147 Charted Accountants Head Office, Petaling Jaya.
Maran dituduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 465/471 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahannya boleh dijatuhkan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal yang mengendalikan kes pendakwaan mencadangkan wang jaminan berjumlah RM4,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Peguam V.Ramjahentherau yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah tujuan wang jaminan adalah untuk mengesahkan kehadiran tertuduh menghadiri perbicaraan ke mahkamah.
“Lagipun, kes ini telah dibuat aduan tiga tahun lepas, pada tahun 2020 dan ketika itu Maran sudah tampil secara sukarela dan memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan.
“Malah semalam dia sekali lagi dipanggil untuk diminta tampil ke balai sebelum dibuat tangkapan polis dan dituduh pagi ini.
“Jadi, saya merayu mahkamah menggunakan kebijaksanaan dan membenarkan satu wang jaminan yang munasabah dan ringan iaitu RM1,000 dengan seorang penjamin,” katanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Shahril Anuar membenarkan wang jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin untuk tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober 2023 sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen kes. – MalaysiaGazette