Skim Insan
Salinan polisi insurans Skim Insan yang dikongsi oleh Asiah Abd Jalil. - Gambar: Facebook

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan kebocoran data peribadi rakyat negeri itu yang digunakan untuk mendaftar Skim Insurans Am Selangor (Insan).

Peguam, Asiah Abd Jalil mempersoalkan sama ada rakyat Selangor mengetahui tentang kemungkinan data peribadi mereka telah disalahgunakan untuk melanggan skim insurans tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.

Beliau memberi contoh mengenai tuduhan yang tular terhadap pempengaruh media sosial pro-Perikatan Nasional (PN), YB Viral yang kononnya menikmati manfaat daripada inisiatif Kerajaan Negeri Selangor iaitu skim Insan.

“Walhal dia langsung tak pernah memohon pun skim insurans ini.

“Adakah semua data peribadinya telah dibekalkan kepada syarikat insurans oleh kerajaan negeri?” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Ketika ini, ramai netizen khususnya rakyat Selangor menyuarakan kehairanan setelah mendapati nama mereka didaftarkan untuk Skim Insan walaupun tidak pernah membuat permohonan.

Asiah menambah, abangnya turut menjadi ‘mangsa’ apabila didaftarkan untuk Skim Insan tanpa pengetahuan dan persetujuannya sedangkan dia tidak pernah memohon.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menyemak nama masing-masing bagi mengesan sekiranya mereka telah didaftarkan dengan syarikat insurans.

“Jika maklumat sulit dan data peribadi anda tertera dalam sijil insurans, buat laporan polis untuk melindungi diri anda.

“Kerajaan negeri Selangor perlu jawab. Siapa yang endorse perbuatan tidak bertanggungjawab ini?” soalnya.

Pada 2 Disember lalu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, lebih 3.56 juta penduduk di Selangor memohon perlindungan insurans kemalangan kemalangan diri melalui Insan sejak inisiatif itu dilancarkan pada Oktober.

Sebelum ini, media melaporkan, pendaftaran skim Insan sehingga 30 September 2023 boleh dibuat melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery dengan maklumat lanjut boleh diperoleh dari laman sesawang programinsan.com.

Aplikasi Wavpay dibangunkan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd, sebuah syarikat dalam Kumpulan Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) yang berperanan sebagai pengendali perkhidmatan berkenaan.

Semakan MalaysiaGazette hari ini mendapati laman sesawang programinsan.com tidak dapat diakses. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Dah serius sangat ni, guna data peribadi tanpa kebenaran? Ini berniaga ala2 komunis ke atau macau scam, mencuri data peribadi?

    Minta Datuk Ayub turun padang, siasat dan heret pencuri data peribadi tersebut kepenjara!

  2. Saya syak kumpulan ini dah biasa curi data peribadi dan menggunakan untuk pelbagai tujuan tanpa kebenaran mangsa. Polis kena siasat dan bawa mereka ke muka pengadilan dan adakah mereka ini ada kaitan dengan MacauScam.

  3. Rakyat dah penat dengan MACAU SCAMMER yang mencuri data peribadi rakyat, ianya perbuatan jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

    Harap Baginda Sultan Selangor dapat masuk campur selesaikan masalah! Rakyat Selangor dah penat!

Comments are closed.