Sungai Skudai antara sungai yang tercemar teruk di Johor. Gambar ihsan - CAP

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memberi perhatian serius dan mengambil tindakan berkesan bagi mengatasi masalah pencemaran sungai di negeri itu.

Gesaan itu diutarakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) susulan sungai di negeri berkenaan didakwa sering tercemar meskipun ia kerap dibersihkan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pencemaran berulang menyebabkan keadaan semakin serius sekali gus mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

Katanya, paling membimbangkan apabila pencemaran sungai di negeri itu bukan sahaja berpunca daripada pembuangan sampah sarap tetapi juga sisa kimia yang boleh membunuh segala hidupan di dalam sungai dan memudaratkan kesihatan manusia.

“Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini kecewa kerana Sungai Skudai kekal tercemar walaupun ia kerap dibersihkan.

“Bahan buangan seperti sampah sarap, plastik, bangkai ayam dan lampin pakai buang mencemarkan air sungai berkenaan.

“Selain itu, Sungai Tebrau juga turut mengalami masalah pencemaran yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Mohideen, CAP percaya jika pihak berkenaan gagal melaksana undang-undang dengan tegas dan berkesan, insiden Sungai Kim Kim di Pasir Gudang akan berulang sekali gus menjejaskan kehidupan penduduk serta pelajar.

Kata beliau, nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan sungai seperti ikan, ketam, udang dan lain-lain mungkin terputus mata pencarian jika pencemaran membabitkan sungai di negeri ini terus berlaku.

“Justeru, JAS perlu menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dengan lebih tegas serta mengenakan hukuman berat setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan bukannya sekadar kompaun ke atas mereka yang didapati bersalah melanggar akta itu.

“CAP juga mencadangkan agar sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji tahap pencemaran sungai di Johor serta mengenal pasti punca kegagalan pihak kerajaan menangani masalah ini dengan berkesan,” kata Mohideen.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kira-kira 1,500 penduduk Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, trauma berikutan pencemaran sisa kimia yang berlaku.

Penduduk mengalami sesak nafas sehingga ramai yang muntah akibat terhidu bau pencemaran disifatkan amat kuat dan busuk yang mungkin dibuang di dalam sungai di kampung berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pencemaran terburuk di Johor adalah disebabkan oleh tambak Johor yang mana airnya tidak mengalir secara semulajadi sejak sekian lama. Dengan teknologi pembinaan, sesuatu yang asal haruslah dikembalikan kepada asalnya, kalau diingkari ianya akan mengundang bencana alam, pencemaran dsb sebagaimana yang berlaku didunia sekarang.

    Peace, pencinta alam semulajadi!

Comments are closed.