IPOH – Mayat seorang lelaki yang disyaki mati dibunuh ditemukan di dalam sebatang parit di Jalan Pasir, Kampung Sungai Payung Baruh, Rungkup, Bagan Datuk semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 4.48 petang semalam daripada orang awam mengenai penemuan mayat dalam keadaan tertiarap di dalam parit di kawasan kebun sawit.
“Mangsa memakai baju berwarna merah dan berseluar pendek ditemukan dengan beberapa kesan luka di bahagian tangan, kaki dan leher.
“Bangsa dan kewarganegaraan mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana mangsa ditemui dalam keadaan mereput serta tanpa dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Basri berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian disebabkan oleh luka potongan di bahagian kepala dan leher.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Kes ASP Muhammad Nazrin Nasir di talian 019-9146370,” katanya. – Bernama