Skim Insurans Am Selangor (INSAN). Foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa terdapat elemen pembocoran data rakyat dan penduduk Selangor dalam pelaksanaan program Insurans Am Selangor (Insan) adalah tidak tepat.

Proses pra-pendaftaran secara automatik dengan menyepadankan maklumat daripada daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya dengan nombor kad pengenalan rakyat dibuat disebabkan aduan kekangan untuk mendaftar terutamanya daripada warga emas.

Agensi pelaksana program itu, Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) berkata, setiap penerima polisi masih perlu menyempurnakan proses pengesahan diri dan bersetuju menerima tawaran perlindungan ini.

“Jika pengesahan tidak dibuat, tuntutan perlindungan sosial RM10,000 untuk kes kematian ataupun kes hilang upaya akibat kemalangan tidak akan diberikan.

“Tidak berlaku pembocoran data kerana data program Insan dilindungi oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga Julai lalu sejumlah 44 kes tuntutan telah diselesaikan merangkumi jumlah pemberian pampasan sebanyak RM537,000 yang meliputi kes kematian dan kecacatan kekal.

Perkhidmatan yang dikendalikan oleh Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd bermula sejak 1 Oktober tahun lalu dengan tujuan untuk memberi perlindungan insurans am kepada 6 juta rakyat Selangor.

Menurutnya, laman web Insan sedang diperkukuhkan dengan ciri keselamatan tambahan dan akan aktif dalam masa terdekat.

Ini disebabkan dakwaan tidak tepat yang disebarluaskan oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan laman web ini untuk tujuan yang berniat jahat.

Tambahnya, terdapat dua jenis skim Insan iaitu konvensional yang disediakan oleh AmGeneral Insurance Berhad dan bagi takaful pula disediakan oleh Takaful Ikhlas General Berhad.

Skim Insan Konvensional menawarkan perlindungan insurans RM10,000 untuk kes kematian dan kes hilang upaya kekal akibat kemalangan dan tambahan RM1,000 untuk perbelanjaan pengebumian untuk kes kematian.

Manakala Skim Insan Takaful menawar perlindungan takaful di antara RM10,000 sehingga RM20,000 bagi kes kematian atau kes hilang upaya kekal akibat kemalangan.

Tambahan RM1,000 untuk perbelanjaan pengebumian untuk kes kematian serta tambahan faedah RM50 sehari sehingga 30 hari untuk kemasukan wad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast