Logo Petronas.

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan kes menyelewengan minyak diesel miliknya.

“Petronas terus komited dalam usaha mencegah dan membanteras segala bentuk jenayah, dan akan terus menyemai kepentingan budaya integriti dan etika kerja di dalam organisasi kumpulannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan penahanan 15 lelaki tempatan yang aktif menyeleweng diesel milik Petronas di Pantai Timur kelmarin.

Menurut Petronas, tangkapan itu susulan laporan polis yang dibuatnya selepas hasil daripada siasatan dalaman terhadap dakwaan salah laku tersebut.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, satu operasi bersepadu dijalankan, kelmarin di sekitar ibu kota, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu bagi mengesan suspek.

Hasil operasi dijalankan itu, polis berjaya menahan 15 lelaki tempatan berusia lingkungan 29 hingga 52 tahun yang dipercayai terbabit sindiket itu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, kegiatan penyelewengan itu berlaku sejak Januari 2021 hingga Februari mengakibatkan kerugian dianggarkan RM13.5 juta kepada pihak Petronas.

Sindiket itu dianggotai individu pelbagai jawatan dalam bidang perkapalan dikesan menjual semula baki minyak diesel yang diperuntukkan kepada setiap kapal logistik marin kepada pembeli secara haram dengan harga sekitar RM1.80 hingga RM1.98 per liter.

Hasil jualan itu kemudian diagihkan.

Kesemua suspek telah direman tujuh hari untuk siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast