LONDON – Bernardo Silva menamatkan spekulasi masa depannya bersama Manchester City selepas dia menandatangani kontrak baharu dengan kelab itu sehingga 2026.
Silva sebelum kembali dikaitkan akan meninggalkan Stadium Etihad pada musim panas lalu dengan Barcelona dilaporkan berminat mendapat khidmatnya
Namun pemain antarabangsa Portugal itu memberi komitmen masa depannya dengan menandatangani perjanjian baharu selepas tempohnya sebelum ini akan tamat pada 2025.
“Saya mempunyai enam tahun yang luar biasa di Manchester City dan saya gembira untuk melanjutkan tempoh saya di sini,” katanya.
“Saya akan memasuki musim ketujuh di City. Sejak tiba di sini, saya hanya ingat satu musim di mana kami tidak berjaya, jadi untuk berada di sini hingga kini yang sarat dengan trofi, ini bermakna kami mengecapi banyak kemenangan dan saya suka menang,” katanya.
Silva yang berusia 29 tahun menyertai City pada 2017 dan sudah menjaringkan 55 gol dalam 308 penampilan selain berjaya memenangi banyak trofi di bawah bimbingan Pep Guardiola iaitu lima gelaran EPL, dua Piala FA, empat Piala Liga dan satu Liga Juara-Juara. – Agensi