Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan prosiding kes membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau berdepan dengan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy menolak permohonan tersebut memandangkan kes penggubahan wang itu telah tertangguh sejak tahun 2018 lagi.

“Permohonan ini tidak adil kepada tertuduh (Rosmah) dan prosiding ini diteruskan,” katanya hari ini.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memohon supaya diberikan masa antara dua hingga tiga bulan untuk meneliti surat representasi kedua yang difailkan.

Kata Ahmad Akram, pihak pembelaan telah membangkitkan beberapa perkara termasuk senarai penama baharu dalam surat representasi kedua.

“Pendakwaan menerima surat representasi (pertama) daripada tertuduh (Rosmah) menerusi peguamnya bertarikh 3 Mei 2023 dan mengikut surat itu, beberapa tindakan siasatan perlu diambil untuk mengesahkan fakta ditimbulkan.

“Kami kemudian menerima satu lagi surat representasi bertarikh 18 Ogos 2023 yang menimbulkan perkara baharu yang turut perlu diteliti.

“Mengambil kira situasi ini, kami rendah diri memohon kebenaran mahkamah untuk memberi lebih banyak masa untuk siasatan penuh atas perkara dalam dua representasi berkenaan supaya ada keputusan sebelum bicara bermula,” katanya.

Kata pendakwaan, andai perbicaraan bermula sekarang, situasinya akan berubah.

“Saya fikir perlu dua hingga tiga bulan (keputusan representasi) sebab ada nama lain yang telah dibangkitkan, kita perlu mencari penama ini dan ada daripadanya berada di luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent juga bersetuju supaya perbicaraan anak guamnya ditangguhkan bagi memberi masa supaya representasi dipertimbangkan dengan betul.

Sebelum ini Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast