Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Amat janggal bagi seorang Perdana Menteri yang beragama Islam dan sebagai ketua dalam negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dihalang untuk mengislamkan seseorang individu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tegahan juga janggal kerana Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Malah Perdana Menteri juga mendapat nasihat daripada Mufti Wilayah Persekutuan dari sudut Hukum Syarak dan nasihat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari sudut tadbir urus hal ehwal Islam.

“Maka, hujah untuk menyatakan ‘ia bukan kerja Perdana Menteri’ adalah tertolak sama sekali,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.

Zulkifli menyediakan jawapan berhubung isu tersebut selepas dihubungi oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk mendapatkan penjelasan berkenaan bagi rancangan Keluar Sekejap.

Beberapa pihak sebelum ini mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bertindak mengislamkan seorang mualaf baru-baru ini yang dianggap sebagai bukan kerja Perdana Menteri.

Zulkifli berkata, melalui Riwayat al-Bukhari (1496) dan Muslim (19), mengislamkan seorang merupakan pekerjaan mulia kerana ia juga merupakan pekerjaan para nabi dan rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah.

“Saya dimaklumkan, pengislaman yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri adalah permintaan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Klang, Tuan Haji Hushim Salleh.

“Apabila ada permintaan, tidak wajar ia ditangguhkan malah berdosa hukumnya jika dilewat-lewatkan,” katanya.

Zulfifli melahirkan sokongan sekiranya ada pemimpin negara atau negeri mengislamkan mereka yang ingin memeluk Islam dengan sukarela tanpa sebarang paksaan.

Katanya, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pernah melakukannya pada tahun 1973.

Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah beberapa kali mengislamkan saudara baharu semasa beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri (1978) mahupun selepas beliau bersara (2022).

Zulkifli bagaimanapun mengingatkan bahawa sejak awal zaman Islam, Rasulullah SAW tidak pernah memaksa mana-mana bukan Muslim untuk memeluk agama Islam.

Para sahabat yang memeluk Islam, menganutnya atas kehendak hati mereka tanpa ada sedikit pun paksaan.

Ini kerana pemaksaan bertentangan dengan prinsip dasar Islam sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah dalam Surah al-Baqarah: 256 yang bermaksud, “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast