Khairul Asraf memeriksa muka Arsyad yang dikatakan mengalami soft tissue injury dan pendarahan di kedua telinga selepas dipukul dan ditampar seorang guru di SK Sri Melor.

KOTA BHARU – Seorang bapa mendakwa anaknya dipukul dan ditampar bertubi-tubi oleh seorang guru di sebuah sekolah di Melor, dekat sini, kelmarin.

Khairul Asraf Razali mendakwa, anaknya Arsyad, murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melor mengalami kecederaan soft tissue injury di muka dan pendarahan di kedua telinga akibat kejadian itu.

“Rabu lalu, selepas balik dari sekolah, Arsyad mengadu sakit di bahagian muka dan dalam kepala selepas dipukul dan ditampar bertubi-tubi oleh guru sekolah tersebut yang dikenali dengan nama ustaz Mohd Yusof.

“Arsyad beritahu saya, guru itu mencarinya dalam kelas pada sebelah pagi ketika semua murid sedang bersedia untuk menjawab soalan kertas Pendidikan Islam bagi ujian pertengahan tahun.

“Pada waktu tersebut difahamkan ada juga guru yang sedang menjaga peperiksaan di dalam kelas,” katanya dalam kenyataan kepada media, malam ini.

Khairul Asraf mendakwa, guru tersebut telah mendapatkan anaknya dan terus menamparnya di muka beberapa kali sehingga terjatuh.

Kemudian, katanya, guru terbabit dikatakan telah mencekak leher baju Arsyad sambil mengangkatnya berdiri dan beberapa kali lagi menamparnya di muka sebelum keluar dari kelas.

“Saya difahamkan tindakan guru itu berikutan daripada aduan anaknya yang juga rakan sekelas Arsyad, yang mereka bergaduh sehari sebelum kejadian itu.

“Kejadian itu turut disaksikan ramai murid dan juga guru bertugas menjaga peperiksaan dalam kelas dan turut disaksikan pekerja pembersihan sekolah yang sedang menyapu di tepi kelas.

“Saya juga difahamkan guru yang menjaga kelas tidak bertindak menghalang guru terbabit daripada memukul Arsyad,” dakwanya.

Katanya, apa yang dikesalkan, tindakan lambat guru dan sekolah untuk memaklumkan kepadanya mengenai kejadian itu, seolah mahu menyembunyikan daripada pengetahuan ibu bapa meskipun pada pagi itu guru dan murid telah dipanggil Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).

Sehubungan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Melor pada jam 2.40 petang hari kejadian dan diarah membawa Arsyad ke hospital untuk pemeriksaan.

Khairul Asraf menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Melor selepas anaknya Arsyad mengadu dipukul dan ditampar seorang guru hingga mengalami cedera di muka dan telinga.

“Saya bawa Arsyad ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk pemeriksaan dan rawatan serta telah dimasukkan ke wad untuk pemantauan sementara menunggu keputusan pemeriksaan doktor.

“Setakat hari ini, saya dimaklumkan Arsyad cedera di bahagian muka dengan soft tissue injury dan juga mengalami pendarahan di kedua telinga disyaki kesan daripada pukulan guru terbabit.

“Saya berharap polis menjalankan siasatan secara teliti kejadian ini dan menyiasat guru terbabit serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang seandainya perbuatan itu boleh diklasifikasikan sebagai kes jenayah,” katanya.

Pada masa sama, beliau minta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil tindakan segera mengasingkan guru itu sepanjang siasatan supaya tidak mengganggu siasatan polis serta untuk menjaga keselamatan anaknya di sekolah.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada sebahagian guru dan pekerja sekolah yang sudi menghubungi kami bagi menceritakan kejadian sebenar.

“Sesungguhnya saya langsung tidak berniat untuk memperbesarkan hal ini, tetapi memikirkan keselamatan anak saya di sekolah dan juga keselamatan murid lain yang mungkin bakal menjadi mangsa kepada keganasan pelaku tersebut.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan tanggungjawab bagi menyiasat perkara ini dan menjalankan apa-apa tindakan yang perlu menurut lunas undang-undang negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. sekarang banyak Kes ANAK DEBIK BAPA… bila Arsyad lempang (andaikan) ayahnya 15 atau 20 akan datang… agak-agak SIAPA yang buat report? atau ada unsur Anakku Sazali..

Comments are closed.