Lokasi perkuburan juruterbang, Mohamad Naim Fawwaz di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang hari ini.

KAJANG – Hari ini hari masuk seminggu kebanyakan jenazah nahas pesawat di Elmina, Shah Alam dikebumikan namun peristiwa tragis itu masih diratapi rakyat di negara ini.

Bagi penggali kubur untuk jenazah salah seorang juruterbang yang menjadi mangsa, Allahyarham Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, 35, pada minggu lalu juga terkesan dengan peristiwa yang berlaku.

Mengimbas semula, Nizam Ahmad, 53, berkata, semasa pengebumian jenazah arwah, suasana di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang dilitupi suasana mendung dan memudahkannya menyempurnakan lubang kubur dengan cepat.

“Suasana redup dan masa mahu masukkan jenazah, tiba-tiba hujan. Bila bacaan talkin, cuaca panas balik. Cuaca bagus masa itu.

“Masa nak solatkan jenazah, jemaah penuh di Surau Saujana. Ahli keluarga redha dan terima dengan ketentuan Allah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Penggali Kubur Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Nizam Ahmad. Foto QURRATU AINI, 25 OGOS 2023.

Nahas pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada Khamis lalu mengorbankan 10 nyawa.

Sembilan jenazah selamat dikebumikan pada Ahad lalu dan satu lagi jenazah disempurnakan pada Sabtu baru-baru ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di tanah perkuburan itu menyaksikan Allahyarham Mohamad Naim ditempatkan di kubur yang istimewa.

Jenazah dikebumikan di kawasan baharu di tapak perkuburan tersebut dan secara kebetulan kubur allahyarham ditempatkan tidak sampai satu meter dari jalan besar.

Sukarelawan Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang Megat Ramli. Foto QURRATU AINI, 25 OGOS 2023.

Dalam pada itu, seorang Sukarelawan Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Megat Ramli pula berkata, semasa pengebumian, lebih kurang 1,000 orang datang menyaksikan pengkebuminan Allahyarham Mohamad Naim Fawwaz.

“Ramai yang turun masa allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, ramai juga dari Masjid Kajang dan orang kampung yang datang. Lebih kurang 1, 000 yang datang, hari itu mendung macam nak hujan.

“Nampak kesedihan dan sayu di muka anak-anak allahyarham dan sedih. Allahyarham masih muda dan profesional dari Kajang, meninggal dunia pula dengan insiden macam itu, rasa kehilangan bagi penduduk di Sungai Kantan,” katanya.

Allahyarham Mohamad Naim Fawwaz salah seorang daripada empat juruterbang dalam berada dalam pesawat terhempas itu selain Allahyarham Kharil Azwan Jamaludin, Allahyarham Shaharul Amir Omar dan Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim yang memandu pesawat.

Enam penumpang iaitu Mohamad Naim, Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Datuk Seri Johari Harun; Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Orang awam masing-masing pemandu kenderaan e-hailing, Sharipuddin Shaari dan penunggang motosikal yang juga penghantar makanan, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN Pahang antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat di Elmina

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast