JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram agar mematuhi etika ketika berkempen.
Katanya, semua parti perlu mematuhi aturan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa mana-mana parti tidak boleh menggunakan lambang politik dalam memberi atau menyalurkan bantuan kepada rakyat.
“Berhubung dengan etika kempen dan juga bantuan-bantuan kerajaan, kita telah berbincang dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) agar tidak ada pelanggaran.
“Jadi kita hormat peraturan yang ditetapkan SPR dan keduanya perkara berbangkit (iaitu) penyaluran bantuan kerajaan menggunakan lambang parti, ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dahulu dan saya percaya ada juga satu dua berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.
“(Saya tegaskan) bantuan kerajaan perlu disalurkan atas nama kerajaan,” katanya kepada selepas menghadiri Kenduri Rakyat dan Menyampaikan Bantuan Bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia, Kempas hari ini.
Hadir sama ialah Onn Hafiz dan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fauziah Salleh.
Pada majlis itu, Anwar menyempurnakan simbolik bantuan Bakul Rahmah kepada 10 penduduk Taman Dahlia di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya Anwar berkata, usaha bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub memperkenalkan inisiatif Payung Rahmat ternyata dapat membantu meringankan beban rakyat.
“Salahuddin sudah lama berpolitik, bila (dia) pegang jabatan (KPDN) tumpuan kerja yang dilaksanakan dengan amanah, kurangkan tekanan kos sara hidup kepada rakyat.
“Semoga contoh ini dapat teruskan (sekaligus) menguatkan kerajaan dengan maksud beri khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos manakala pengundian awal pada 5 September ini manakala hari pengundian pula pada 9 September 2023.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Salahuddin pada 23 Julai lalu. – MalaysiaGazette
ANWAR IBRAHIM dah tak mampu menari dah.. Parlimen Pulai tu akan menipiskan quote dibuatnya lapan lagi MP yang serah SD buat kejutan mau terduduk…. sabar sabar
InsyaAllah tak perlu tunggu PRU16 untuk tukar PM! Dalam waktu terdekat, bila2 masa sahaja pun boleh, sistem demokrasi membenarkanya.