KUANTAN – Polis menahan tujuh lelaki warga tempatan berhubung kes kematian seorang lelaki warga Myanmar di Sungai Ruan, Raub tiga hari lepas.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima aduan daripada abang mangsa pada 23 Ogos lalu.
“Pengadu yang juga wakil Pertubuhan Etnik Myanmar (MEO) mendakwa pada 22 Ogos pada jam 8.45 malam diberitahu bahawa adiknya dipukul beberapa lelaki di Sungai Chalit, Sungai Ruan, Raub,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
Jelas Yahaya, pegawai perubatan hospital tersebut mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan ‘Severe Traumatic Brain Injury To Rule Out Intracranial Bleed’.
Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Cawangan Siasatan Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menjalankan risikan dan berjaya menahan kesemua suspek berbangsa Cina berusia 22 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.
“Kes telah diklasifikan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh) dan kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini,” jelasnya.
Yahaya meminta orang ramai yang mempunyai malumat berkaitan kes tersebut untuk menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Raub di talian : 09-3552222 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette