KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin UMNO diberikan kuasa penuh dan berkecuali untuk menyiasat, memperhalusi serta mengambil tindakan wajar atas sebarang kes pelanggaran disiplin yang berlaku.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Fasal 20.9 (f) dalam Perlembagaan UMNO jelas menggariskan prinsip penting untuk setiap ahli “memelihara nama baik dan maruah parti” dan tidak melakukan apa sahaja bentuk tindakan, perlakuan, penulisan mahupun percakapan yang boleh ditafsirkan menyanggahi prinsip itu.
Kata beliau, penyertaan mana-mana ahli dalam satu-satu pakatan yang tidak dianggotai UMNO atas nama apa sekali pun turut diperincikan dalam Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.
Justeru, beliau menyeru ahli UMNO untuk kekal bersatu dan bersetia dengan wadah yang menjadi induk penting dalam Kerajaan Perpaduan hari ini untuk terus memelihara Islam dan memartabatkan agenda Melayu-Bumiputera sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti.
“UMNO mengambil serius sebarang isu pelanggaran disiplin mahupun perlakuan yang boleh dianggap menyalahi peraturan dan menyanggahi perlembagaan parti,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Tindakan itu selari dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan, parti akan mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka yang menyertai program kempen Perikatan Nasional (PN), malam tadi.
Ahmad Zahid menjelaskan, beliau akan menerima laporan berhubung tindakan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang dilihat hadir ke majlis pengumuman calon PN di Bakri, Johor.
“Saya akan terima laporan itu dan kita akan lakukan sesuatu,” katanya yang dilaporkan sebagai berkata di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: