Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan di sekolah.

Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kementerian telah memberi penjelasan terperinci semalam berhubung tujuan pelaksanaan modul itu.

Katanya, ia antara lain untuk menerapkan semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan pemahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.

​Pada masa sama, kenyataan kementerian itu juga jelas menyatakan program berkenaan disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja.

“Oleh itu, semua pihak diminta untuk tidak menimbulkan apa-apa polemik yang boleh mengganggu-gugat matlamat murni pelaksanaan modul berkenaan.

“​Semua pihak diseru memberikan penumpuan membangunkan negara khususnya pembangunan modal insan generasi madani seperti dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya di sini, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melancarkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

Susulan itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.

MCCBCHST berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia daripada mengambil arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka. – MalaysiaGazette